Anggota JIM melakukan pemeriksaan dan menahan wanita warga China kerana terlibat aktiviti tidak bermoral dalam serbuan di apartment di Tanjung Puteri, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Tujuh wanita warga China menggunakan aplikasi Wechat dan Telegram dengan bayaran RM230 hingga RM400 bagi menawarkan khidmat seks di apartmen sekitar Tanjung Puteri di sini malam tadi.

Bagaimanapun taktik licik mereka bagi mengelak dihidu pihak berkuasa terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor melakukan serbuan di beberapa apartment pukul 9 malam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor menyerbu selepas mendapat maklumat awam dan risikan.

“Operasi yang dijalankan serentak ke atas beberapa premis berasingan mendapati kesemua tangkapan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.

“Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan seks dengan menggunakan aplikasi media sosial seperti Wechat dan Telegram.

“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM230 hingga RM400 bagi setiap perkhidmatan dan dibayar secara tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi  berkata, semakan awal mendapati, seramai tujuh suspek wanita itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen berusia dalam lingkungan 25 hingga 41 tahun.

Katanya, semua yang ditahan dipercayai disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tambahnya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, sebanyak enam borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

“JIM Johor menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang. Jabatan juga akan meneruskan usaha-usaha membanteras PATI di negeri ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast