KUALA LUMPUR – Sebanyak 42 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan kepada individu yang dikesan membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa di tempat awam.
Kesemua pesalah akan disiasat dan didakwa di mahkamah di Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam satu kenyataan memaklumkan, notis itu dikeluarkan menerusi OPS CEGAH secara besar-besaran di 11 lokasi tumpuan di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 bermula pukul 12.01 tengah malam tadi.
Menurutnya, OPS CEGAH itu melibatkan mobilisasi anggota penguat kuasa seluruh negeri, pengurusan tertinggi SWCorp serta kerjasama erat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“OPS CEGAH pada ambang tahun baharu 2026 telah ditamatkan pada jam 3 pagi dan operasi susulan diteruskan pada pagi ini bagi memastikan persekitaran sentiasa terpelihara,” katanya.
Tambah kenyataan itu, orang awam juga boleh menyalurkan aduan pembuangan sampah kecil melalui WhatsApp Aduan SWCorp di: 013-2107472.
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 akan dikuatkuasakan bermula hari ini sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Akt aitu terpakai di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.
KPKT memaklumkan, selain Perintah Khidmat Masyarakat, pesalah juga boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM10,000 bagi kesalahan sama. – MalaysiaGazette
















