Datuk Mustapha Sakmud.

KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membangunkan papan pemuka (dashboard) berhubung status terkini perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, papan pemuka itu dijangka boleh diakses melalui portal rasmi BHESS JPM bermula hujung bulan ini.

Menurut beliau, ia merupakan sebahagian usaha meningkatkan ketelusan dan akses perkembangan pelaksanaan MA63 kepada rakyat terutamanya hal berkaitan tuntutan 40 peratus hak Sabah.

Terdahulu, katanya, sehingga kini, sebanyak sebanyak 29 perkara MA63 telah dibincangkan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah itu, ujarnya, 13 perkara berjaya diselesaikan iaitu masing-masing sembilan di bawah Kerajaan Madani, manakala empat lagi di bawah kerajaan terdahulu.

“Ini adalah pencapaian terbaik Kerajaan Madani berbanding Perdana Menteri dan kerajaan terdahulu dalam menguruskan pelaksanaan MA63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mustapha menambah, baki 16 perkara lagi kini sedang dirunding secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak melalui MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikalnya, dengan pemantauan rapi oleh BHESS selaku sekretariat bersama semua pihak berkepentingan.

Ujarnya, BHESS juga akan meneruskan usaha untuk mengadakan sesi libat urus dengan kementerian-kementerian serta agensinya; pihak industri; ahli akademia; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan untuk memantapkan pelaksanaan MA63.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan Malaysia, selari dengan tekad Perdana Menteri untuk memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast