Bantuan kemanusiaan ke Gaza oleh MyCARE Foto MyCARE

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam keras tindakan biadab dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel yang melarang serta menggantung operasi sejumlah besar organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa di Gaza, satu langkah yang disifatkan sebagai jenayah kemanusiaan terang-terangan terhadap rakyat Palestin.

Menurut kenyataan rasmi Wisma Putra, tindakan tersebut bukan sahaja mencabul undang-undang kemanusiaan antarabangsa, malah memburukkan lagi penderitaan penduduk awam Gaza yang telah lebih dua tahun menjadi mangsa serangan tanpa henti oleh rejim pendudukan Israel.

“Halangan terhadap bantuan kemanusiaan ini merupakan satu bentuk hukuman kolektif terhadap orang awam, di samping menjejaskan prinsip neutral dan kebebasan operasi organisasi kemanusiaan.

“Rejim Israel, sebagai kuasa pendudukan, tertakluk kepada tanggungjawab di bawah Konvensyen Geneva Keempat untuk memastikan akses kemanusiaan ke Gaza dilaksanakan tanpa halangan,” tegas Malaysia.

Wisma Putra turut menegaskan bahawa sekatan tersebut sengaja dilakukan untuk melumpuhkan usaha bantuan kemanusiaan serta menafikan hak asas rakyat Palestin untuk hidup dengan bermaruah.

Malah halangan terhadap misi bantuan kemanusiaan jelas melanggar prinsip kebebasan operasi pertubuhan kemanusiaan, sekali gus mencerminkan sikap tidak menghormati undang-undang antarabangsa oleh rejim Israel.

Malaysia menegaskan bahawa kegagalan membenarkan kemasukan bantuan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan perlindungan asas merupakan satu jenayah serius yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa agar tidak lagi berdiam diri, sebaliknya bertindak tegas untuk memaksa Israel menarik balik keputusannya serta memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan sepenuhnya dan tanpa halangan.

“Israel juga mesti dipertanggungjawabkan atas setiap pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan,” menurut kenyataan tersebut.

Malaysia sekali lagi menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta komitmen berterusan untuk memperjuangkan penamatan kekejaman Israel, penghapusan sekatan terhadap Gaza dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Semalam, sekitar 37 kumpulan kemanusiaan antarabangsa akan digantung kebenaran beroperasi di Gaza bermula hari ini selepas didakwa gagal mematuhi peraturan pendaftaran baru yang ditetapkan oleh pemerintah Israel, menurut Kementerian Hal Ehwal rejim Israel pada 30 Disember.

Ekoran arahan itu, kumpulan terlibat perlu menghentikan operasi secara berperingkat dan mengosongkan kawasan Gaza selewat-lewatnya Mac 2026, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar masyarakat antarabangsa ketika wilayah itu terus bergelut dengan krisis kemanusiaan yang parah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast