Pasukan bomba sedang memadam kebakaran ke atas kereta Proton Persona yang terbakar selepas terbabit kemalangan di kilometer (km) 264.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. Foto JBPM Perak

IPOH – Sepasang suami isteri warga emas mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum terbakar di Kilometer 264.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.20 pagi.

Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona yang dinaiki suami isteri beriusia lingkungan 68 tahun telah terbakar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lagi kereta.

“Didapati api sedang marak membakar kereta Proton Persona tersebut hampir pada kadar 80 peratus daripada keseluruhan kereta berkenaan.

“Sementara kereta yang berlanggar dengan kenderaan terbabit telah dialihkan oleh pihak penunda kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shazlean berkata, ekoran daripada kejadian itu sepasang suami isteri berekaan telah mengalami kecederaan dan menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum bomba tiba.

“Pasukan bomba menggunakan satu aliran 100 kaki pancutan air bersumberkan dari tangki jentera dalam operasi pemadaman kebakaran ke atas kenderaan sehingga api berjaya dipadamkan,” katanya lagi.

Operasi yang diketuai Penguasa Kanan Bomba (PBK II), Mohammad Norshazwan Mohd Puzi dengan kekuatan enam anggota itu tamat pada jam 9.25 pagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast