Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 02 JANUARI 2025.

PETALING JAYA – Kerajaan Perpaduan tidak mencampuri masalah ‘rumah tangga’ Perikatan Nasional (PN) yang berantakan hingga retak menanti belah susulan peletakan jawatan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perebutan jawatan Pengerusi PN yang baharu juga bukan masalah Kerajaan Perpaduan.

“Soal orang idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai itu bukanlah masalah saya.

“Itu masalah mereka, kita tak campur, itu masalah Pas dan Bersatu dan cerai-berai bukan masalah Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Datuk Harun di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada media selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 02 JANUARI 2025.

Sebelum ini, kemelut yang membadai PN menyaksikan beberapa pimpinan Bersatu ‘sepakat tekan butang’ melepaskan jawatan masing-masing dalam gabungan itu.

Ia bermula dengan pengumuman mengejut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026 dan empat pimpinan lain menyusul selepas itu.

Antaranya Ahli Dewan Undangan Bukit Kepong Sahrudin Jamal meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor, disusuli Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor.

Kemudian disusuli Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak dan Mohamad Hanifah Abu Baker sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan.

Selain itu, ditanya mengenai usaha Pas untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), Anwar mengulangi Kerajaan Perpaduan masih utuh.

“Itu belum serius, saya belum dapat maklumat lagi, itu keputusan masing-masing tapi yang penting sekarang Kerajaan Perpaduan masih utuh.

“Semua telah berikan fikiran mereka untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, pembelaan nasib rakyat sehingga pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast