JOHOR BAHRU – Seorang ibu kepada kanak-kanak yang mengalami kegagalan fungsi hati bersyukur kerana dana pembedahan untuk pemindahan hati anaknya kini sudah mencukupi.
Syahira Sarbini, 33, berkata, keluarganya bersyukur kerana sumbangan dana RM180,000 itu membolehkan anak sulungnya, Anaqi Mikhael Mohamad Sharafi, 9, atau mesra dengan panggilan Anaqi menjalani pembedahan di luar negara.
“Alhamdullilah…sumbangan ini amat bermakna bagi menyelamatkan nyawa anak syurga kami bagi menjalani pembedahan pemindahan hati di China,” katanya.
Syahira berkata demikian selepas dia bersama-sama suaminya serta Anaqi menerima replika cek sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Bangunan Sultan Ibrahim (BSI) di Bukit Timbalan di sini hari ini.
Cek disumbangkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Penasihat MAIJ, Datuk Nooh Gadot.
Syahira berkata, keluarganya kini menunggu maklumbalas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Biliary Atresia Malaysia Association (BAMA) bagi mendapatkan tarikh pembedahan.
Dia difahamkan segala urusan bagi proses pembedahan sudah dilengkapkan di Renji Hospital Shanghai Jiaotong University School of Medicine di China.
“Mereka hanya menantikan kehadiran Anaqi dan kakak ipar saya, Siti Saleha Mokhtar, 41, iaitu penderma hati.
“Suami, Mohamad Sharafi Mokhtar, 33, turut akan mengiringi Anaqi bagi memastikan semuanya berjalan lancar selain kami turut akan ditemani oleh sukarelawan BAMA,” ujarnya.
Buat masa ini katanya, tahap kesihatan Anaqi masih sama termasuk bergantung kepada bantuan oksigen dan mudah letih.
“Dia pada mulanya menyatakan berasa gentar untuk menjalani pembedahan, namun kami memberi semangat hingga dia mampu memahami kepentingan pembedahan ini,” katanya.
Syahira berkata, keluarganya dimaklumkan pembedahan anaknya akan memakan masa kira-kira lapan jam dan Anaqi hanya dibenarkan pulang selepas keadaan kesihatannya stabil.
Menurutnya, bagi pesakit Biliary Atresia (BA) yang pernah menjalani pembedahan pemindahan hati kebiasaannya akan diberi rawatan mengambil masa antara dua minggu hingga 40 hari manakala penderma mungkin dibenarkan pulang lebih awal.
“Kami berharap pembedahan ini memberi harapan baharu kepada Anaqi yang mula menghidapi penyakit ini sejak lahir.
“Kami amat berterima kasih kepada MAINJ yang prihatin dengan nasib Anaqi selain BAMA yang tampil mengumpul dana bagi mencukupkan kos pembedahan.
“Kami juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan Anaqi,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fared berkata, MAIJ bakal menawarkan bantuan RM125,000 bagi kos pembedahan selain beg oksigen mudah alih bernilai RM17,000.
Menurutnya, MAIJ berharap bantuan berkenaan dapat melancarkan uskaha menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu selain memiliki masa depan lebih cerah.
“Kami berterima kasih kepada semua pembayar zakat yang mampu memberi harapan baharu kepada kanak-kanak ini,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kebimbangan suami isteri berkaitan nasib anak sulung daripada tiga beradik yang memerlukan pembedahan pendermaan hati dalam tempoh terdekat berikutan kesihatannya semakin merosot.
Anaqi yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai 2 disahkan menghidapi BA pada 2018 pernah menjalani Kasai Procedure bertujuan melambatkan kerosakan hati.
Pada April lalu, doktor memaklumkan Anaqi perlu membuat pembedahan berikutan bacaan hatinya semakin merosot dan begitu juga dengan tahap oksigennya yang tidak stabil.
Ibu saudara Anaqi, Siti Saleha yang bekerja sebagai jururawat Klinik Kesihatan Air Tawar 2, Kota Tinggi bakal menderma sebahagian organnya.
Anaqi dan Siti Saleha berjaya melepasi saringan kesihatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).- MalaysiaGazette
















