Konsert Malam Hijrah Bergema Satukan Seni dan Dakwah Dalam Sambut Tahun Baharu 2026.

KUALA LUMPUR – Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah tampil sebagai alternatif signifikan meraikan ambang tahun baharu apabila berjaya menarik ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang tenang, tertib dan sarat pengisian rohani di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, penganjuran konsert bukan sekadar acara hiburan sebaliknya satu bentuk dakwah yang disesuaikan dengan realiti dan citarasa masyarakat masa kini.

“Seni ialah bahasa yang dekat dengan masyarakat dan apabila mesej Islam disampaikan dengan kreativiti dan keindahan, ia mampu menyentuh hati, membentuk pemikiran serta merapatkan jurang antara generasi.

“Kebiasaanya masyarakat dihidangkan dengan sambutan berbentuk hiburan biasa, tetapi kali ini TVAH bawakan kelainan dengan menggabungkan elemen dakwah dalam persembahan nasyid dan muzik kontemporari, dan ini jelas terbukti mendapat sambutan dari pelbagai peringkat” katanya pada sidang media selepas konsert.

Konsert Malam Hijrah Bergema dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri.

Tambah beliau, penganjuran konsert itu juga membuktikan bahawa seni berteraskan nilai Islam mampu menjadi medium efektif dalam menyatukan masyarakat, khususnya apabila hiburan digarap bersama mesej dakwah dan muhasabah diri.

“Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam satu ruang yang sama memperlihatkan penerimaan luas terhadap pendekatan hiburan Islamik yang bersifat inklusif dan mendidik,” ujarnya.

Konsert Malam Hijrah Bergema Satukan Seni dan Dakwah Dalam Sambut Tahun Baharu 2026

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli.

Sepanjang konsert, penonton dihidangkan dengan persembahan nasyid, selawat dan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan serta kemanusiaan yang menyentuh jiwa yang menampilkan barisan artis seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Hijjaz, Lah Ahmad.

Turut menampilkan Mawi, Sufian Suhaimi serta Munsyid Muda bergandingan dengan penyanyi legenda Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash menyampaikan karya yang mengajak kepada keinsafan, harapan dan penghijrahan diri.

Kemuncak program menyaksikan seluruh dewan bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu bertemakan hijrah, mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa serta azam memperbaiki diri.

TV AlHijrah melihat Konsert Malam Hijrah Bergema sebagai inisiatif jangka panjang dan berhasrat menjadikannya acara tahunan dalam memperkayakan pengisian rohani masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast