Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah motosikal semasa melintas jalan pulang dari kedai di Jalan Segenting, Tampoi, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 8.34 malam melibatkan warga emas berusia 74 tahun dan remaja itu yang merupakan seorang pelajar berumur 18 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku petang semalam apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Bukit Mewah menghala ke Jalan Johor Bahru-Air Hitam.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal terbabit telah melanggar seorang pejalan kaki wanita yang sedang melintas di lorong kanan Jalan Segenting, Tampoi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta patah kaki kiri dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Penunggang motosikal pula ujarnya, mengalami kecederaan di bahagian bahu kiri serta luka pada kedua-dua belah tangan dan mendapatkan rawatan di hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu atau menunggang secara melulu atau berbahaya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Azhar Pakrudin 013-411 1703.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast