JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan gaji minimum khusus untuk graduan baharu ditetapkan antara RM3,000 hingga RM3,500 ke atas.
Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, ini bagi membolehkan mereka membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPTN).
“Contohnya dasar gaji progresif graduan antara RM3,000 hingga RM3,500 untuk pemegang ijazah, RM2,500 (diploma) dan gaji minimum RM1,700 (SPM).
“Dicadangkan juga Kategori Khas Graduan Bermaruah iaitu seperti Kursus Pendidikan Moral dan Etika Tentera (PMET) di Singapura.
“Begitu juga perjanjian kolektif sektor melibatkan universiti, industri dan kerajaan untuk tetapkan kadar gaji permulaan.
“Ini termasuk cadangan wujudkan Guideline Salary Nasional dengan kerajaan keluarkan penanda aras rasmi untuk graduan baharu tamat pengajian.
“Juga insentif cukai kepada syarikat yang memberi dasar gaji yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana masalah graduan sebenar bukan sekadar hutang tetapi gaji mereka terlalu rendah.
Dakwanya, ramai graduan baharu hanya dibayar hampir sama dengan pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana budaya majikan masih berpegang untuk memberi gaji rendah kerana lambakan graduan.
“Mana mungkin mereka mampu bayar balik hutang sambil menanggung kos hidup? Jugak purata pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi tahun 2022 adalah RM2,589 ke bawah. Solusinya hanya tetapkan gaji bermaruah untuk graduan seperti dicadangkan.
“Graduan mampu bayar balik PTPTN tanpa beban. Ekonomi lebih rancak kerana graduan ada daya beli dan membantu kerajaan melalui bayaran cukai pendapatan setiap tahun. Jurang jelas antara SPM, diploma, dan ijazah,” katanya.
Beliau mencadangkan agar cara perlaksanaan bayaran gaji untuk para graduan dari kebanyakkan negara lain diconohti.
Misalnya kata beliau, di Singapura graduan masuk kategori PMET dengan gaji permulaan lebih tinggi, dikawal oleh tripartite guidelines.
Korea Selatan dan Jepun pula katanya, graduan masuk sebagai seishain dengan gaji permulaan standard industri antara USD2,000 hingga USD2,500 sebulan.
Di Eropah (Jerman, Perancis) katanya, menetapkan gaji permulaan graduan melalui perjanjian kolektif sektor semenrtara di bandar besar di China terdapat garis panduan gaji untuk graduan baharu sebagai penanda aras majikan.
PTPTN tidak boleh dimansuhkan katanya, namun graduan boleh dibebaskan melalui gaji bermaruah dan setimpal dengan kelulusan mereka.
“Kalau benar mahu bantu anak muda, buktikan dengan dasar jelas dengan berikan gaji bermaruah untuk graduan,” ujarnya.
Tegas beliau, langkah itu merupakan jalan keluar sebenar untuk mereka daripada beban PTPTN dan kos hidup yang menekan.
“Jangan sampai ramai anak muda memilih untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat universiti.
PTPTN katanya, seperti yang diakui Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim tidak mungkin dimansuhkan sepenuhnya walaupun sebelum ini beliau semasa menjadi aktivis lantang menyuarakan agar hutang PTPN dimansuhkan.
“Dulu kamu turun ke jalan berguling-guling memperjuangkan PTPTN dimansuhkan. Hari ini kamu sudah jadi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Tetapi bila ditanya tentang PTPTN, jawapan kamu hanya ‘semua pemimpin ada cita-cita tetapi negara tak ada keupayaan’.
“PTPTN tidak mungkin dimansuhkan sepenuhnya. Tetapi ia boleh diganti dengan struktur sokongan graduan baru melalui gaji bermaruah,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















