KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Persiaran Pantai Barat (WCE) mendakwa kenderaan yang dipandunya dibaling batu dari atas jambatan, pada 1 Januari lalu 3.30 pagi.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, SUPT Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian dilaporkan oleh pekerja Group Kerja Selangor WCE Patrol semalam berdasarkan laporan pengguna jalan raya yang menjadi mangsa.
Jelasnya, menurut pengadu batu dibaling dari atas jambatan di KM 8.3 arah Selatan (Jambatan Seri Cheeding) mengenai cermin keretanya.
Katanya, kejadian telah menyebabkan kerosakan pada kenderaan pengguna lebuh raya berkenaan, namun tiada kecederaan yang dialaminya.
“Pengadu membuat laporan untuk memohon polis agar kerap membuat rondaan di kawasan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, Mohd Akmalrizal berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan
“Pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek yang terlibat,” katanya lagi.
Beliau turut menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















