KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah menghantar notis bayaran melalui pautan rawak atau aplikasi WhatsApp mengenai tunggakan tol atau kesalahan trafik.

Sehubungan itu PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan yang menyalahgunakan nama pihak berkuasa itu atau MyBayar PDRM.

“Modus operandi melibatkan penerimaan mesej yang mengandungi pautan (link), paparan laman web menyerupai laman rasmi PDRM serta arahan kepada mangsa untuk menekan butang “Pay Now” bagi mengisi maklumat peribadi atau perbankan,” katanya menerusi hebahan di media sosial.

PDRM turut menasihatkan orang ramai tidak membuka pautan yang mendedahkan maklumat perbankan masing-masing.

“Sebarang maklumat hendaklah disahkan melalui laman rasmi atau kaunter kerajaan dan laporkan sebarang cubaan penipuan kepada PDRM atau CCID Scam Response Center,” katanya lagi.

Bermula 1 Januari, JPJ dan PDRM melaksanakan sistem diskaun baharu, iaitu 50 peratus untuk bayaran dalam 1 hingga 15 hari, 33 peratus untuk 16 hingga 30 hari dan selepas 31 hari akan dikenakan maksimum RM300.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast