Antara yang rampasan dalam serbuan tersebut.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah dengan rampasan kira-kira RM2 juta dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Timur Laut di sini.

Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang antara jam 1 petang, semalam hingga jam 2 pagi tadi turut membawa kepada tangkapan empat individu termasuk seorang wanita warga Vietnam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang di kawasan George Town.

Jelas beliau, hasil soal siasat membawa pihak polis ke lokasi penyimpanan dadah di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan sama.

Serbuk MDMA antara dirampas.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada rampasan serbuk dadah Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat keseluruhan 12,151 gram, ketamin seberat 51.4 gram, pil ekstasi seberat 12.6 gram serta pil Erimin 5 seberat 3.3 gram.

“Susulan itu polis melakukan tangkapan kedua dengan menahan dua lagi lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘runner’ dalam sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Azizee, hasil risikan mendapati sindiket tersebut aktif sejak Julai lalu dan jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan sehingga 50,000 kali atau oleh 50,000 orang.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada tangkapan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

“Semakan lanjut juga mendapati tiga individu mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Kesemua rampasan bernilai RM2 juta.

“Kesemua tangkapan berusia 19 hingga 40 tahun itu direman selama enam hari sehingga 8 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast