KLUANG – Seorang remaja berdepan detik cemas selepas terjatuh dalam lubang yang mempunyai air dengan kedalaman kira-kira tiga meter dalam kejadian di Jalan Hashim di bandar ini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Ridzuan Mohamad Zait berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 9.55 pagi yang jaraknya 2 kilometer.
Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Terdapat seorang lelaki berusia 18 tahun telah terjatuh ke dalam longkang dan pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan sebuah tangga.
“Mangsa berjaya dinaikkan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi tamat pukul 10.15 pagi,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette















