Huraidah (kiri) menunjukkan sijil kelahiran Nur Rabiatul Qaseh dan kini sedang mencari ibu kandung anak angkatnya untuk urusan dokumentasi di JKM

KOTA TINGGI – Seorang guru sedang mengesan ibu kandung kepada anak angkatnya untuk melakukan urusan dokumentasi di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nur Rabiatul Qaseh Mohd Razuwa yang kini berusia 13 tahun dijaga ibu angkatnya, Huraidah Ithnin, 42, dan mereka menetap di Taman Seri Saujana di sini.

Menurut Huraidah, dia menjaga Nur Rabiatul Qaseh sejak bayi selepas ibu kandungnya menghilangkan diri tanpa sebarang khabar sejak anak angkatnya itu berusia lima tahun.

Dia berkata, menatang Nur Rabiatul Qaseh seperti minyak yang penuh dan dijaganya sejak dilahirkan pada Disember 2012 di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Menurutnya, pada awalnya ibu kandung anak angkatnya itu sekadar meminta tolong menjaga bayinya namun terus menghilangkan diri.

“Selepas bersalin, wanita itu meminta saya menjaga bayinya kerana bekerja dan berjanji akan membayar upah sebanyak RM300 sebulan.

“Pada awal kelahiran memang ibunya ada jenguk namun jarang-jarang. Kali terakhir dia berjumpa anaknya umur lima tahun kemudian terus tidak dapat dihubungi,” katanya ketika ditemui.

Dia yang telah menjaga Nur Rabiatul sejak bayi dan ketika masih bujang sehingga berkahwin sangat menyayangi kanak-kanak itu seperti anak kandung sendiri.

Menurutnya, segala kos membesarkan Nur Rabiatul dikeluarkan sendiri olehnya termasuk kos persekolahan dan sebagainya.

“Bahkan sejak bayi lagi saya sudah memberi susu badan kepada Nur Rabiatul. Tambahan pula saya dengan suami kami belum dikurniakan anak, bahkan keluarga mentua juga sudah anggap Nur Rabiatul seperti cucu kandung mereka.

“Saya bimbang jika berlaku apa-apa kepadanya pada masa akan datang, terutama daripada segi status, pendidikan dan kebajikan,” ujarnya.

Berasaskan kebimbangan itu katanya, memerlukan kehadiran ibu kandungnya untuk bantu melancarkan proses dokumentasi di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast