Poay Tiong ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25 di Melaka hari ini.

MELAKA – DAP Melaka membidas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju kerajaan.

Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan ahli parti, namun DAP melihat gesaan tersebut tidak berasas dan melangkaui bidang kuasanya.

“Ada yang tanya, sekarang Akmal suruh kita keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Saya nak tanya lu (Akmal) siapa?. Dalam bab ini yang membuat keputusan ialah Presiden UMNO, bukannya Akmal Saleh.

“Saya tahu kenyataan tersebut, menimbulkan banyak perbincangan antara ahli kita sehingga pemberita pun berminat nak tahu apakah respon kita.

“Saya nak tanya siapa Akmal Saleh (sedangkan) yang ada kuasa untuk melantik Exco kerajaan negeri adalah Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bukannya Akmal Saleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25 di sini, hari ini yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Semalam,  Dr Akmal Saleh mencabar pemimpin DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka, memandangkan parti itu juga sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional

Dr Akmal yang juga Exco Melaka berkata demikian menerusi ucapannya pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka turut mengingatkan Dr Akmal bahawa penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan di Melaka adalah atas jemputan Ab Rauf selepas beliau mengangkat sumpah pada 2023.

“Waktu itu beliau mengajak DAP menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan negeri seperti yang telah dibentuk di peringkat Persekutuan.

“Maka atas semangat perpaduan tersebut, beliau (Ab Rauf) menjemput supaya ada satu wakil daripada DAP dalam Exco negeri dan atas prinsip semangat sama kita menerima untuk berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya lagi.

Dalam nada lebih keras, Poay Tiong menegaskan DAP tidak pernah takut untuk bergerak secara solo kerana pernah menjadi pembangkang, namun keputusan sedemikian tidak akan dibuat secara semberono.

“Kita DAP tidak takut turun solo kerana kita sudah lama jadi pembangkang dan tidak tamak jawatan Exco atau Menteri, tetapi kita bertanggungjawab untuk fikir kesannya kepada rakyat sebelum buat apa-apa keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast