Amyra Rosli dan Amar Baharin

KUALA LUMPUR – Bagi menyemarakkan lagi Gema Ramadan Siti Khadijah, jenama itu mengumumkan pelantikan Amyra Rosli dan Amar Baharin sekeluarga sebagai Duta Ramadan & Raya Siti Khadijah 2026.

Ia sekali gus menjadi wajah baharu bagi koleksi keluarga jenama tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn. Bhd., Mohammad Munzir Aminuddin dalam satu kenyataan.

Pelantikan itu mencerminkan nilai kemesraan, kesederhanaan dan kekeluargaan yang menjadi teras kepada falsafah Siti Khadijah di samping memenuhi keperluan gaya hidup moden tanpa mengabaikan nilai tradisi, kesopanan dan keselesaan.

Jenama peneraju telekung premium dan busana ibadah, Siti Khadijah mengangkat tema Warisan Darul Iman yang diinspirasikan daripada Mushaf Terengganu, sebuah manuskrip Islam bersejarah yang sarat dengan nilai seni, budaya dan warisan Nusantara menerusi Koleksi Ramadan & Raya 2026.

Jelas Mohammad Munzir Aminuddin, koleksi tersebut menampilkan gabungan elemen klasik dan moden dengan rekaan yang anggun, halus serta penuh makna, sekali gus mencerminkan keindahan seni Islam yang diangkat dalam konteks gaya hidup masa kini.

“Keindahan warisan tidak seharusnya hanya tersimpan di muzium, sebaliknya perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian. Elemen seni mushaf ini kami aplikasikan dengan pendekatan moden dan klasik, menghasilkan rekaan yang anggun, sederhana dan penuh makna,” katanya.

Kata Munzir lagi, Siti Khadijah ingin membawa mesej bahawa Ramadan seharusnya diwarnai dengan busana yang cantik, lengkap dan diraikan.

“Selalunya kita hanya akan menumpukan Aidilfitri untuk membeli baju baru dan baju raya. Namun kami beranggapan bahawa Ramadan juga seharusnya diraikan dengan pakaian yang baru dan suci,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast