Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembebasan segera Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar.

Menurut Perdana Menteri, tindakan penahanan itu merupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan merupakan penggunaan kekerasan yang tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.

Tegas beliau, walau apa pun alasannya, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memegang jawatan melalui campur tangan luar menetapkan satu duluan yang berbahaya.

Katanya, ia menghakis sekatan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara serta melemahkan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada ketertiban antarabangsa.

“Adalah menjadi hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto: FB Anwar Ibrahim

Tambah Anwar, seperti yang telah ditunjukkan oleh sejarah, perubahan kepimpinan secara mendadak akibat penggunaan kekerasan luar akan membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Apatah lagi, ujar beliau, di sebuah negara yang sedia bergelut dengan kesukaran ekonomi yang berpanjangan serta tekanan sosial yang mendalam.

Katanya, Malaysia menganggap penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara sebagai asas utama kepada hubungan aman antara negara-negara.

“Pendekatan secara konstruktif, dialog dan usaha meredakan ketegangan kekal sebagai laluan yang paling berwibawa ke arah suatu penyelesaian yang melindungi orang awam serta membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa kemudaratan lanjut,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan, Maduro dan Flores sudah didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York atas pelbagai pertuduhan jenayah, termasuk narko-keganasan membabitkan perdagangan dadah haram.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai proses penghantaran Maduro dan Flores ke Amerika Syarikat (AS) atau tarikh perbicaraan masih belum didedahkan pihak berkuasa.

Terdahulu, AS mengesahkan kedua-dua individu berkenaan ditahan susulan serangan berskala besar ke atas Venezuela awal pagi tadi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast