KUALA LUMPUR – Cadangan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menyuarakan agar UMNO dan Pas kembali bersatu menerusi Muafakat Nasional 2.0 dilihat sebagai satu langkah rasional dalam mengambil kira pelbagai isu yang timbul sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, khususnya melibatkan sensitiviti agama Islam dan hak orang Melayu.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Ir. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, cadangan Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan dalam Konvensyen Hala Tuju UMNO Dalam Kerajaan Perpaduan semalam yang menegaskan penyatuan dua parti Melayu Islam terbesar itu sebagai satu keperluan mendesak.
Beliau mendakwa, pendirian tegas DAP mempertahankan agenda “Malaysian Malaysia” yang berakar daripada Deklarasi Setapak, bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak dan keistimewaan orang Melayu.
“Agenda ini dilihat cuba menghapuskan garis bumiputera dan bukan bumiputera atas nama kesamarataan mutlak tanpa mengambil kira realiti sejarah serta kontrak sosial negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Mengulas isu-isu agama, Nurul Islam mendakwa, terdapat pola penentangan berulang terhadap cadangan berkaitan Islam dalam Kerajaan Madani termasuk cadangan mewajibkan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada penyedia makanan untuk orang Islam serta garis panduan lawatan orang Islam ke rumah ibadat bukan Islam, yang akhirnya tidak diteruskan.
Beliau turut menyentuh isu penguatkuasaan melibatkan kegiatan songsang, pesta arak terbuka dan aktiviti tidak bermoral yang didakwa semakin berani, sambil mempersoalkan ketegasan kerajaan dalam menangani perkara berkenaan.
Dalam pada itu, Nurul Islam berpandangan, kelemahan kepimpinan beberapa menteri Kerajaan Madani serta isu integriti yang melibatkan individu rapat dengan perdana menteri telah mencalarkan imej kerajaan, sekali gus memberi kesan kepada UMNO sebagai sebahagian daripada gabungan pemerintah.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO telah mencadangkan agar parti tersebut mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Kerajaan Madani, namun Nurul Islam menegaskan keputusan muktamad masih tertakluk kepada proses parti termasuk perbincangan di Majlis Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.
“Apa pun, keberanian Ketua Pemuda UMNO menyuarakan pandangan ini wajar dipuji demi kelangsungan politik UMNO dan perpaduan Melayu Islam,” katanya.
Cadangan berkenaan kemudiannya disambut oleh pimpinan Pemuda Pas, termasuk Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyatakan kesediaan Pas untuk memperkukuh kembali kerjasama politik berteraskan kepentingan ummah.
Beliau turut berharap agar usul berkenaan akan dipertimbangkan secara serius demi kestabilan politik negara dan kepentingan umat Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette
















