KUALA LUMPUR – Tiada nas atau dalil yang secara jelas mengharamkan seseorang membeli kain kafan yang mahal namun ia bergantung kepada beberapa situasi, kata Prof. Datuk Dr Mohd. Izhar Ariff Kashim
Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, hukum menjadi harus sekiranya pembelian tersebut dibuat mengikut kemampuan individu namun tidak dihebahkan kepada orang ramai selain ahli keluarga.
“Niatnya baik untuk pastikan segala ibadahnya sejajar dengan kehidupan realiti dunianya. Pada masa yang sama, dia tidak lupa zakat, sedekah, hadiah, wakaf dan lain-lain terhadap tuntutan agamanya.
“Hukum ini sama seperti jemaah pergi haji dengan pakej mewah RM250,000 seorang bagi keselesaan jemaah yang berkemampuan ketika menunaikan ibadah,” katanya di Facebook hari ini.
Sebelum ini, tindakan usahawan terkenal, Haliza Maysuri menempah set kain kafan premium daripada seorang pereka fesyen ternama mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang menyokong langkah tersebut sebagai peringatan kematian namun tidak kurang juga yang mempersoalkan kewajaran membeli kain kafan dengan harga mahal.
Mengulas lanjut, Mohd. Izhar menambah, hukum menjadi makruh tetapi tidak berdosa sekiranya perkara tersebut diuar-uarkan kepada umum atas tujuan promosi produk tanpa niat riak atau takbur.
Namun hukumnya boleh menjadi haram sekiranya pembelian kain kafan mahal itu diumumkan dengan niat riak, sombong atau merendahkan set kain kafan murah yang menjadi amalan dan uruf masyarakat.
“Mengingati mati adalah sunnah Nabi SAW supaya kita sentiasa menghindari maksiat dan tiada nas secara jelas yang melarang atau mengharamkan seseorang itu untuk membeli kain kafan yang mahal.
“Justeru, kita tidak boleh menghukum perbuatan seseorang itu khususnya melibatkan niat kecuali terdapat perbuatan jelas yang menjurus seseorang utu kepada perbuatan haram sebagaimana dinyatakan di atas. Semoga pandangan ini dapat menenangkan semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















