TRANSFORMASI adab dalam dunia moden sudah semakin jelas dalam cara masyarakat berkomunikasi, terutama di platform digital. Jika satu masa dahulu, adab ditunjukkan melalui percakapan secara langsung, dengan etika dan tata susila yang dihormati. Namun, dengan kemunculan media sosial, kita menyaksikan banyak perubahan drastik yang berlaku.
Bahasa kasar, lucah, dan perilaku menghina menjadi norma baru dalam kebanyakan komunikasi. Contohnya, buli siber telah menjadi isu yang membimbangkan, di mana individu merasa bebas untuk mencemuh atau mengeluarkan kenyataan negatif terhadap orang lain. Hal ini menunjukkan bagaimana adab yang seharusnya dijunjung tinggi kini sudah semakin terpinggir, menggantikan nilai-nilai murni yang pernah menjadi tanda kebanggaan masyarakat Malaysia.
Realitinya, masyarakat kini semakin terperangkap dalam arus kehidupan yang pantas dan tanpa batasan, dan yang membimbangkan adalah semakin rendahnya adab dalam komunikasi seharian. Kita sering mendengar pelbagai kisah yang menunjukkan betapa rendahnya nilai adab yang ditunjukkan dari tingkah laku di media sosial kepada komunikasi harian dalam kalangan masyarakat.
Malah, jumlah klip-klip video yang direkod secara spontan tentang adab masyarakat kini terutamanya apabila berdepan dengan konflik dilihat semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sekolah, pejabat, dan tempat awam yang sepatutnya menjadi medan untuk menunjukkan keharmonian, sebaliknya sering kali menjadi tempat untuk melihat sifat-sifat negatif seperti kurangnya rasa hormat, sogokan kata cacian, dan sikap tidak peka terhadap perasaan orang lain.
Apa yang kita tidak sedar adalah impaknya terhadap pembentukan adab dalam kalangan generasi yang lebih muda yang menjadi penonton kepada video-video tersebut. Kita lupa bahawa generasi yang lebih berumur sentiasa menjadi contoh dan teladan kepada mereka dan masyarakat kini seolah-olah sedang dengan galaknya menunjukkan sendiri contoh-contoh yang tidak baik. Mungkin golongan dewasa sudah boleh menilai baik buruknya insiden yang ditunjukkan tetapi bagaimana dengan golongan muda yang masih sedang membina identiti diri mereka?
Berkemungkinan ada di antara mereka ini yang akhirnya menjadi keliru dan merasakan adab-adab tidak baik itu memang sudah biasa berlaku dan boleh juga dipraktikkan. Sebagai contoh, insiden kata-kata kesat yang dikeluarkan atau tindakan ganas yang diambil oleh individu selepas berlakunya kemalangan, atau insiden bagaimana guru yang tidak dihormati oleh muridnya, atau kejadian sebenar aksi pergaduhan, buli atau penderaan, atau insiden pergaduhan yang berlaku antara jiran seperti mana yang pernah menjadi viral dari semasa ke semasa.
Ketika berbincang tentang adab, kita perlu memahami bahawa adab adalah cerminan peradaban dan akhlak dalam masyarakat. Dalam konteks ini, lebih baik memiliki sifat beradab walaupun dengan ilmu pengetahuan yang terbatas, berbanding menjadi manusia berilmu tetapi tidak beradab. Melihat kepada situasi sekarang, kita dapat melihat ramai individu yang terpelajar dari pelbagai latar belakang pekerjaan tetapi menggunakan pengetahuan untuk merendahkan orang lain. Misalnya, dalam media sosial, banyak berlaku insiden di mana individu yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi mengeluarkan kenyataan sinis dan merendahkan. Kes ini sering kali menarik perhatian ramai, tetapi adakah kita sedar bahawa ini adalah tanda bahawa masyarakat kita semakin jauh dari adab?
Semua agama di dunia, termasuk Islam, menggariskan pentingnya adab dalam kehidupan. Agama Islam mengajar nilai-nilai seperti menghormati orang tua, berbicara dengan sopan, dan menghargai tetamu adalah teras yang perlu dibudayakan. Dalam kebudayaan kita yang kaya dengan pelbagai agama, nilai adab seharusnya menjadi ikatan yang menyatukan kita. Mengambil contoh negara Jepun yang terkenal dengan etika sosialnya yang tinggi, mereka sering diingatkan tentang kepentingan “keigo” atau bahasa sopan. Sikap saling menghormati ini bukan sahaja meningkatkan keharmonian dalam masyarakat tetapi juga mencerminkan keperibadian yang baik.
Namun, kita tidak dapat menafikan bahawa pengaruh budaya Barat amat kuat dalam kehidupan kita terutamanya yang disalurkan melalui platform atas talian. Sikap “cool” yang sering kali dikaitkan dengan kebolehan menggunakan bahasa kasar, mencarut, atau menonjolkan sifat-sifat negatif menjadi kebanggaan bagi sesetengah golongan masyarakat.
Barangkali ramai antara kita sudah melihat situasi di mana remaja di media sosial mengalami kecenderungan mencarut sebagai satu bentuk ekspresi diri. Salah satu contoh adalah isu buli siber yang semakin meningkat menggambarkan betapa rendahnya adab di mana ramai individu terpengaruh untuk mengekspresikan diri dengan cara yang tidak bertamadun di media sosial tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain.
Lebih menyedihkan apabila isu campur tangan dalam urusan orang lain sudah semakin meluas. Kita sering melihat individu memberi komentar atau membuat teguran tanpa rasa hormat terhadap perasaan individu yang diberi komentar, seolah-olah tiada batasan peribadi. Dalam Islam, menegur kesalahan orang lain seharusnya dilakukan dengan cara yang peribadi dan beradab, tetapi kini kita banyak melihat teguran dilakukan secara terbuka di platform media sosial. Amalan ini bukan saja mencerminkan kurangnya adab tetapi juga menjejaskan maruah orang lain dan sering kali mencetuskan konflik yang tidak perlu.
Namun, di sebalik perubahan ini, terdapat juga usaha untuk mengembalikan nilai adab dalam kehidupan seharian. Pelbagai kempen kesedaran telah diadakan oleh organisasi bukan kerajaan dan pihak berkepentingan untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya adab dalam berkomunikasi, terutamanya di media sosial. Pendidikan formal juga mulai menekankan aspek adab dalam kurikulum, membolehkan generasi muda memahami nilai-nilai ini sejak dari awal usia lagi.
Dengan mengintegrasikan adab dalam teknologi dan kehidupan moden, kita berpeluang untuk membentuk masyarakat yang lebih berhemah, menghargai orang lain, dan berkomunikasi dengan cara yang lebih membina. Transformasi ini memberi harapan kepada kita semua untuk melihat suatu kebangkitan adab yang mampu mengharmonikan masyarakat Malaysia di masa hadapan.
Keadaan yang lebih mencemaskan ini mengingatkan kita bahawa dalam mengejar kehidupan moden yang kompetitif, kita haruslah tidak melupakan nasihat agama dan nilai-nilai sosial yang tinggi. Walaupun teknologi semakin canggih dan memukau, kita tetap harus mengekalkan asas yang membawa kita kepada keharmonian dalam masyarakat. Sedarlah bahawa dunia ini semakin tua dan waktu kita di dunia ini adalah terhad. Dalam keghairahan mencapai kejayaan di dunia, kita tidak seharusnya lupa untuk bersiap sedia menghadapi kehidupan selepas mati.
Marilah kita sama-sama mengembalikan adab dalam kehidupan seharian kita. Menghormati orang lain, berkomunikasi dengan penuh adab, dan menunjukkan nilai-nilai murni adalah tanggungjawab kita sebagai insan yang bertamadun. Dengan membudayakan adab, kita bukan sahaja dapat mengekalkan keharmonian dalam masyarakat, tetapi juga membina generasi yang lebih berilmu dan berhemah. Untuk masa depan yang lebih baik, mari kita junjung kembali nilai-nilai adab yang menjadi landasan kepada kehidupan yang sejahtera dan berharmoni.
Dr. Safiyyah ahmad Sabri
Ketua Program/Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
















