Ikan tilapia merah yang diternak menggunakan Sistem Bioflock di bawah Projek Sejati MADANI Ternakan Ikan Air Tawar di JPKK Kampung Pantai Remis, Manjung, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 OKTOBER 2025.

Oleh: Dr. Mohd Ihwan Zakariah

SEKTOR akuakultur merupakan antara penyumbang utama kepada keterjaminan makanan negara, khususnya dalam membekalkan sumber protein haiwan secara berterusan dan mampan. Di Malaysia, industri ini memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pasaran domestik serta eksport. Namun, perkembangan pesat sektor ini turut berdepan cabaran besar, terutamanya berkaitan isu kesihatan dan penyakit ternakan akuatik yang semakin kompleks.

Penyakit akuakultur bukan sahaja menjejaskan produktiviti dan pendapatan penternak, malah memberi implikasi langsung terhadap keterjaminan makanan, kelestarian alam sekitar dan keselamatan biosekuriti negara. Risiko ini menjadi lebih ketara apabila sistem ternakan berintensif tinggi dilaksanakan tanpa pengurusan kesihatan dan biosekuriti yang menyeluruh.

Secara umumnya, penyakit akuakultur terbahagi kepada penyakit berjangkit dan tidak berjangkit. Penyakit berjangkit berpunca daripada bakteria, virus, parasit dan kulat, manakala penyakit tidak berjangkit sering dikaitkan dengan faktor persekitaran seperti kualiti air yang tidak stabil, pencemaran, ledakan alga berbahaya serta pengurusan ternakan yang lemah. Antara penyakit utama yang sering dilaporkan termasuk Streptococcosis, Vibriosis, White Spot Syndrome Virus (WSSV), Tilapia Lake Virus (TiLV) dan Early Mortality Syndrome (EMS).

Di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) menunjukkan penyakit akuatik terus menjadi ancaman serius dengan pelbagai wabak dilaporkan merentasi benua dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Situasi ini menuntut kawalan dan pengurusan penyakit akuakultur yang lebih sistematik di peringkat nasional bagi mengelakkan kerugian ekonomi dan gangguan bekalan makanan.

Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah tahap penguatkuasaan biosekuriti yang tidak seragam antara ladang, penggunaan benih tanpa sijil kesihatan serta kawalan pergerakan stok ternakan yang lemah. Keadaan ini meningkatkan risiko kemasukan dan penularan patogen, termasuk penyakit eksotik dari luar negara. Selain itu, penggunaan antibiotik secara tidak terkawal bagi menangani wabak turut menimbulkan kebimbangan terhadap rintangan antimikrob (AMR) dan keselamatan makanan.

Dalam menghadapi cabaran ini, pendekatan One Health semakin relevan, khususnya dalam sektor akuakultur. Pendekatan ini menekankan hubungan rapat antara kesihatan haiwan akuatik, manusia dan alam sekitar bagi memastikan pengeluaran makanan yang selamat, mampan dan berdaya tahan.

Tahap literasi kesihatan ikan dalam kalangan penternak kecil dan sederhana juga perlu dipertingkatkan. Kekurangan pengetahuan berkaitan pengesanan awal penyakit dan pengurusan kualiti air sering menyebabkan tindakan kawalan diambil lewat seterusnya meningkatkan kadar kematian ternakan. Faktor perubahan iklim seperti peningkatan suhu air dan cuaca ekstrem turut mempengaruhi dinamika penyakit akuakultur.

Bagi menangani isu ini secara menyeluruh, pengukuhan biosekuriti, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pensijilan kesihatan ternakan serta pemantauan penyakit secara berjadual perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa. Pendekatan pencegahan melalui penggunaan vaksin, probiotik dan pengurusan kualiti air yang baik juga wajar diperkasakan
bagi mengurangkan kebergantungan kepada antibiotik.

Dalam hal ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) memainkan peranan penting menyokong agenda keterjaminan makanan negara. Penubuhan pasukan Aquaculture and Fisheries Research Services (AFReS) membolehkan khidmat pemantauan lapangan, analisis makmal dan latihan diberikan kepada penternak, khususnya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia sebagai usaha menangani isu kesihatan akuakultur secara bersepadu.

Kesimpulannya, isu penyakit ternakan akuakultur merupakan cabaran kritikal yang memerlukan perhatian serius semua pihak. Kerjasama erat antara kerajaan, institusi penyelidikan, industri dan komuniti penternak amat penting bagi memastikan industri akuakultur negara kekal berdaya saing, selamat dan mampan demi menjamin keterjaminan makanan serta kesejahteraan ekonomi negara.

Penulis merupakan penyelidik di Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast