KUALA LUMPUR – Pihak-pihak tertentu diingatkan agar tidak membentuk persepsi awam, mempolitikkan prosiding kehakiman atau mencabar prinsip asas negara hukum berhubung isu projek terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang kini masih dalam proses perbicaraan dan belum diputuskan secara muktamad oleh mahkamah.
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, terdapat kecenderungan pihak tertentu untuk menormalisasikan tuduhan serius sebagai isu politik semata-mata yang disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap semangat Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Menurut beliau, Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara dan tiada sesiapa termasuk pemimpin politik, berada di atas undang-undang.
“Cubaan mengalihkan fokus kes mahkamah kepada naratif politik bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencabar asas negara hukum yang berteraskan keluhuran Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Irwan Fahmi menegaskan, selaras dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kehakiman terletak sepenuhnya pada mahkamah dan tidak boleh diperlekehkan atau ditekan melalui naratif awam yang bertujuan mencipta simpati politik atau meremehkan proses perbicaraan.
Beliau turut menekankan, prinsip andaian tidak bersalah tidak boleh dijadikan lesen untuk mengelak daripada persoalan integriti, tadbir urus dan akauntabiliti, khususnya apabila melibatkan kepentingan awam dan aset negeri.
“Kes ini melibatkan keputusan pentadbiran, pemindahan aset serta implikasi kewangan kepada negeri. Justeru, rakyat berhak melihat keadilan dilaksanakan secara telus dan tuntas, bukan ditenggelamkan oleh propaganda politik,” tambahnya.
Sehubungan itu, Perkasa memberi amaran keras agar tiada pihak memutarbelit fakta perbicaraan, menyerang institusi kehakiman sama ada secara tersirat atau terbuka serta mengeksploitasi sentimen awam demi kepentingan politik sempit.
Tegas beliau, keadilan tidak ditentukan oleh populariti, kuasa politik atau persepsi awam, sebaliknya diputuskan oleh mahkamah berdasarkan undang-undang, keterangan dan prinsip Perlembagaan.
“Semua pihak wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan, menghormati institusi kehakiman dan menunggu keputusan muktamad mahkamah dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette
















