KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menyambut baik inisiatif Pemuda UMNO Malaysia menganjurkan konvensyen khas semalam namun menegaskan ia bukan pendirian muktamad parti.
Segala keputusan berkaitan hala tuju UMNO perlu ditentukan melalui saluran serta hierarki parti yang sah, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Menurutnya, penganjuran konvensyen itu mencerminkan keterbukaan UMNO sebagai sebuah parti matang yang meraikan pandangan dan perbezaan pendapat dalam kalangan ahlinya.
Menurut beliau, UMNO Kedah berpandangan konvensyen berkenaan hanya sebahagian daripada proses dalam hierarki penentuan hala tuju parti manakala sebarang pandangan dan input yang dikemukakan diyakini telah dan akan dinilai secara menyeluruh melalui platform rasmi parti termasuk Biro Politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO.
“Sehubungan itu, sebarang pendirian dan kenyataan berkaitan hala tuju politik negara wajar dibuat secara berhemah, melalui saluran yang teratur serta menghormati proses dan hierarki keputusan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan pendekatan yang terburu-buru dan tidak berlandaskan pertimbangan menyeluruh berisiko mengelirukan rakyat serta menjejaskan kepercayaan terhadap kestabilan politik negara.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy menegaskan, UMNO Kedah berpandangan parti perlu berwaspada agar tidak terheret dalam usaha menampung atau menyelamatkan krisis dalaman mana-mana parti lain.
“UMNO tidak seharusnya membuat keputusan berlandaskan sentimen, populariti jangka pendek atau kepentingan kelompok tertentu sehingga mengabaikan keutamaan utama iaitu memperkukuh parti sendiri dan menjaga kepercayaan akar umbi,” ujarnya.
Beliau berkata, UMNO Kedah yakin kebijaksanaan Presiden parti bersama Biro Politik dan MKT akan menentukan hala tuju terbaik secara menyeluruh dan berwawasan, berpaksikan pertimbangan jangka panjang serta realiti politik semasa, bukannya sentimen atau populariti sementara. – MalaysiaGazette
















