KUALA LUMPUR – Seorang pekerja swasta ditahan kerana dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel di kawasan Sungai Lalang, Semenyih, Kajang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 31 tahun itu dicekup kira-kira pukul 1.30 pagi dengan turut dirampas daripadanya sebuah motosikal dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan awal air kencing, selain mempunyai 17 rekod jenayah lampau.
“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 6 Januari (Selasa) bagi membantu siasatan lanjut. Usaha mengesan baki suspek yang terlibat masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron menambah, kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Sarjan A. Vaelmurgan di talian 019-611 1660 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















