KUALA LUMPUR – Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya (PPIPUM) terlibat dalam Program Khatam Al-Quran & Khatan Jama’ie 2025 Negeri Sembilan, yang berlangsung di Masjid Al-Azim, Taman Semarak, Nilai pada 20 Disember 2025 lalu.
Program ini dianjurkan bersama Persatuan Amal Bakti N9 dengan kerjasama Masjid Al-Azim Taman Semarak 2, PERKIM cawangan Nilai, JMB Taman Semarak 2 serta pasukan Sunathon University of Cyberjaya.
Ia merupakan inisiatif khidmat komuniti bertaraf kebangsaan yang menggabungkan elemen kerohanian, kesihatan dan pembangunan mahasiswa, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan holistik dan berjiwa rakyat.
Melalui program ini, pelajar pergigian Islam berperanan secara langsung dalam menyantuni golongan asnaf dan komuniti B40, khususnya memberikan Pendidikan kesihatan mulut bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mulut, pencegahan penyakit gigi dan gusi, serta amalan kebersihan mulut yang betul.

Penglibatan pelajar dalam program ini turut membentuk kemahiran komunikasi, empati, kepimpinan, kerja berpasukan dan profesionalisme, yang merupakan elemen penting dalam pembangunan graduan pergigian berkualiti.
Lebih signifikan, penglibatan ini menyemai nilai ihsan, tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan.
Di samping itu, melalui inisiatif Outpost Dentist for Community Service (ODOCS) di Bawah Jabatan Restoratif, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, perkhidmatan rawatan pergigian percuma daripada pensyarah pergigian UM (AP Dr Azwatee, Dr Amirul Fahmi dan Dr Husaini) telah disediakan kepada komuniti setempat menggunakan bas klinik pergigian bergerak UM.
Seramai 40 orang pesakit daripada golongan asnaf dan B40 telah menerima rawatan termasuk cabutan gigi, penskaleran dan tampalan.
Bas Klinik Pergigian Bergerak Universiti Malaya merupakan hasil sumbangan bersama daripada Wakaf Selangor, Association of Islamic Banking and Financial Institution Malaysia (AIBIM), Bank Muamalat, Yayasan Wakaf serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas usaha mantan dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Profesor Dr. Zamri Radzi.
Program ini turut mencatat penyertaan komuniti yang memberangsangkan dengan kehadiran hampir 200 orang, melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
Antaranya termasuk khatan jama’ie melibatkan 50 orang kanak-kanak golongan asnaf, program khatam Al-Quran yang disertai remaja golongan asnaf dan orang dewasa daripada komuniti B40, pemeriksaan kesihatan, pendidikan kesihatan pergigian serta rawatan klinikal.

“Kami amat bersyukur dan gembira melihat sambutan yang sangat baik daripada komuniti. Kehadiran hampir 200 orang menunjukkan program seperti ini amat diperlukan dan dihargai oleh masyarakat,” ujar Md Fakaruddin Ab Rahman Pengerusi Masjid Al-Azim.
Naib Pengerusi PERKIM cawangan Nilai dan juga setiausaha program, Jamsari Mohamad yang lebih mesra sebagai Tok Jay turut meluahkan rasa sebak dengan kejayaan penganjuran program tersebut.
“Saya benar-benar terharu melihat kesungguhan semua pihak yang sanggup turun padang membantu masyarakat. Program seperti ini memberi impak besar kepada komuniti,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















