KUALA LUMPUR – Menjadikan isu Sabah sebagai penanda aras kepada negeri lain dalan perjanjian kerjasama komersial adalah satu gambaran yang tidak tepat, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menurutnya, Sabah tidak boleh disamakan dengan negeri lain kerana kedudukan fiskal Sabah berlandaskan susunan Perlembagaan yang khusus kepada Sabah dan Sarawak, bukan tuntutan politik dasar atau pembangunan biasa.
Malah, kata Bendahari UMNO Sabah berkenaan, isu di Sabah juga melibatkan perkara struktur dan Perlembagaan yang telah lama tertangguh.
“Sebarang perbincangan berkaitan hasil Sabah mesti bermula dengan ketelusan sepenuhnya.
“Kaedah pengiraan adalah rumit dan teknikal, dan tanpa akses data yang jelas, keputusan tidak boleh dianggap adil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Salleh merujuk kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Merican yang menyatakan Malaysia sudah mempunyai model terbukti untuk memastikan perkongsian hasil yang lebih adil antara Petronas dan negeri pengeluar minyak.
Mengulas tuntutan daripada negeri-negeri yang mahukan bahagian hasil minyak dan gas yang lebih besar, Johan menekankan kerjasama ‘menang-menang’ antara Petronas dan Sabah yang ditandatangani pada 2021 sebagai contoh kerjasama komersial yang berjaya.
Sementara itu, Salleh berkata, bagi menyelesaikan isu pengiraan dan kutipan hasil secara menyeluruh, sebuah jawatankuasa bersama Putrajaya–Sabah yang kekal diperlukan dengan kuasa jelas, akses data bersama dan kepakaran teknikal bebas.
Menurutnya, pendekatan sementara dan ad-hoc adalah tidak mencukupi, sebaliknya penyelesaian mestilah bersifat institusi dan berterusan, sejajar dengan kedudukan Sabah dalam Perlembagaan Malaysia.
Jelas beliau, kemajuan awal boleh diiktiraf, namun masih banyak kerja belum diselesaikan, dan perbandingan dengan negeri lain hanya mengalihkan fokus.
“Sabah tidak menuntut keistimewaan. Sabah menuntut ketepatan, ketelusan, dan keluhuran Perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















