Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Selangor menyokong penuh cadangan menghidupkan kembali Muafakat nasional (MN) seperti dicadangkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh.

Mohamed Sukri Omar berpandangan landskap politik negara hari ini menuntut suatu kebijaksanaan baharu yang lebih matang, berlapang dada dan berpaksikan kepentingan ummah serta negara.

“Saya menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk menghidupkan kembali muafakat nasional malah di sambut Ketua Pemuda Pas Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

MN, kata Mohamed Sukri, bukan sekadar kerjasama politik jangka pendek tetapi suatu gagasan penyatuan strategik yang memayungi parti-parti Melayu serta rakan-rakan bukan Melayu yang sederhana, rasional dan menolak ekstremisme.

“Negara ini hanya mampu distabilkan melalui politik yang membina bukan politik yang merobohkan.

“Saya melihat inilah masa terbaik untuk parti-parti Melayu melakukan reset secara menyeluruh. Reset dari sudut pendekatan, budaya berpolitik, tatakelola kepimpinan dan keutamaan perjuangan.

“Politik dendam dan saling mencurigai mesti digantikan dengan politik muafakat, amanah dan tanggungjawab Bersama,” katanya.

Menurut beliau,sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu menjadi kuat apabila bersatu atas prinsip bukan bersatu kerana kepentingan sempit.

Dalam masa yang sama, kesatuan mesti bersifat inklusif dengan memberi jaminan keadilan, kestabilan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“MN yang dihidupkan semula perlu berteraskan nilai kenegaraan, keadilan sosial, kestabilan ekonomi dan penghormatan kepada Perlembagaan serta institusi negara. Ia bukan nostalgia politik, tetapi satu keperluan strategik bagi menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.

“Saya menyeru agar semua pihak menghentikan polemik tidak berkesudahan dan mula memikirkan tanggungjawab besar terhadap rakyat. Politik adalah medan khidmat, bukan medan ego. Negara ini terlalu berharga untuk terus dipertaruhkan dengan perpecahan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast