Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana berjaya melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan seberat 6.2 kilogram.

Perdana Menteri menyifatkan ia sebagai kejayaan bersejarah.

Menurutnya, kejayaan ini mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi tinggi warga kesihatan negara, khususnya dalam menangani prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook semalam berkata, bayi berkenaan menjalani prosedur pemindahan hati daripada ibunya pada 25 November lalu.

Kongsinya,  beberapa minit sebelum prosedur bermula,  jantung bayi kecil ini berhenti.

“Dia ‘collapse’ secara tiba-tiba. ​Suasana di ICU Pediatrik bertukar cemas.

“Pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi. Satu jam yang penuh debaran. Nyawa anak kecil ini benar-benar di hujung tanduk.

“​Di sinilah kehebatan sebenar pasukan perubatan kita teruji. ​Bukan sahaja mereka berjaya menstabilkan kembali bayi tersebut, malah dengan clinical judgement yang tajam dan berani, mereka membuat keputusan berat: Pembedahan diteruskan.

“​Risikonya amat tinggi. Pembuluh darah bayi seberat 6kg adalah sangat halus. Namun, berkat kepakaran pakar bedah, pakar bius, dan jururawat kita, pembedahan pemindahan hati itu BERJAYA,” kongsi beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast