KUALA LUMPUR – Program Pahala Kompos yang dikendalikan oleh pasukan penyelidik Universiti Malaya di bawah kelolaan UMCares berjaya memberi pendedahan kepada lebih 60 peserta, termasuk komuniti Petaling Jaya, mahasiswa Universiti Malaya, pembekal makanan sekitar Universiti Malaya serta delegasi dari Universitas Darunnajah Jakarta.
Program yang berlangsung di Galeri Zero Waste Campaign Universiti Malaya (UM ZWC) merupakan sebahagian daripada aktiviti kelestarian yang bertajuk “Green Mosque Initiative: Pioneering Environmental Advocacy at Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya” (MBPJ01-2025), sebuah usaha kolektif bersama pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melalui geran penyelidikan PJ Seed 6.0.
Pasukan penyelidik Universiti Malaya menggembleng tenaga bersama pemegang taruh yang lain khususnya komuniti Petaling Jaya dalam menjayakan gagasan ini yang mensasarkan bandar rendah karbon, ekonomi kitaran, bandar mesra kanak-kanak, bandar pembelajaran dan bandar yang mampan dari segi ekonomi.
Program ini telah mendapat sokongan padu Jawatankuasa Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya yang berusaha untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai amalan kompos sebagai pendekatan lestari dalam pengurusan sisa makanan.
Ia juga dapat meningkatkan kesedaran mengurangkan pembaziran makanan menjelang Ramadan 2026, khususnya dalam kalangan pembekal makanan dan pengusaha Bazar Ramadan.
Dr. Asmawati Muhamad, Ketua Penyelidik geran komuniti tersebut berkata, usaha ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12); Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab yang memastikan corak penggunaan serta pengeluaran yang mampan bagi mengurangkan sisa, meningkatkan kecekapan sumber dan menggalakkan amalan lestari.
Pengurusan sisa secara sistematik khususnya pemprosesan sisa makanan menjadi baja kompos dapat dibudayakan serta diperluaskan ke masjid di seluruh negara, katanya.
Program menampilkan sesi tausiyah Pahala Kompos oleh Prof. Dr. Sumiani Yusoff, Profesor Kehormat Institut Pengajian Termaju Universiti Malaya, yang menekankan penjagaan alam sekitar merupakan ibadah.
Beliau menjelaskan, sisa makanan menyumbang kepada pencemaran dan pelepasan gas metana, di mana setiap individu
menghasilkan di antara 1.5 kilogram sehingga 2 kilogram sisa sehari, dengan sekurang-kurangnya 30 peratus boleh dijadikan bahan berguna.
Beliau menggesa pengurangan pembaziran dan pengurusan sisa secara beretika, termasuk penghantaran sisa organik ke
UM ZWC untuk dijadikan baja kompos. Beliau turut menekankan impak sisa bandar terhadap banjir kilat serta pencemaran tanah dan sungai.
Demonstrasi kompos disampaikan oleh Mairuz Azlan, Pegawai Projek UM ZWC, yang menerangkan kaedah kompos di rumah, premis makanan, dan proses penghantaran sisa ke fasiliti UM ZWC.
Peserta turut diberi peluang untuk meninjau tapak pemprosesan sisa bagi memahami proses praktikal pengurusan sisa makanan.
Sementara itu, sesi taklimat tatacara pelupusan ayat al-Quran disampaikan oleh Ustaz Muhamad Nur Naqsyabandi Aziz,
Pembantu Hal Ehwal Islam JAWI, yang memberikan panduan prosedur pelupusan mengikut syariah.
Di samping itu, Pelajar kursus Ilmu Wahyu, Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, pada hari tersebut telah mengumpulkan 77 kilogram barangan kitar semula, yang dianggarkan dapat mengurangkan 259.5 kg CO₂.
Jumlah ini setara dengan GHG yang dielakkan melalui 6.4 beg sisa, karbon yang diserap oleh 1.3 pokok berusia 10 tahun, atau
tenaga untuk mengecas lebih 6,226 telefon pintar sehingga penuh. – MalaysiaGazette















