PUTRAJAYA – Sebanyak 1.34 juta pertubuhan perniagaan di negara ini akan terlibat dalam Banci Ekonomi 2026 (BE 2026) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bermula hari ini sehingga 31 Oktober depan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 180,000 daripada pertubuhan perniagaan berdaftar itu terdapat di Wilayah Persekutuan,
Menurutnya, berdasarkan rekod terkini DOSM pada tahun 2025, pertubuhan mikro meliputi 74.3 peratus, pertubuhan kecil (20.8 peratus), pertubuhan sederhana (1.1 peratus) dan pertubuhan besar (3.8 peratus).
“Dari segi pecahan mengikut sektor pula, perkhidmatan mengungguli peratus tertinggi iaitu sebanyak 83.6 peratus (117,778), diikuti sektor pembinaan, 8.8 peratus (74,308), sektor pembuatan sebanyak 5.5 peratus (25,010), pertanian 1.9 peratus (3,354) dan sektor perlombongan dan pengkuarian 0.2 peratus.
“Putrajaya mempunyai struktur ekonomi yang didominasi oleh sektor perkhidmatan khususnya perkhidmatan pentadbiran awam, profesional, pendidikan, kesihatan, hospitaliti, perniagaan sokongan serta aktiviti berkaitan ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Komposisi perniagaan di Putrajaya turut merangkumi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), perniagaan mikro dan aktiviti perkhidmatan informal yang menyokong fungsi Putrajaya sebagai bandar pentadbiran negara,” katanya pada majlis Pelaksanaan Sesi Kick-Off BE 2026 di Pasar Tani Kekal, Presint 4 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, BE 2026 merupakan banci keenam sejak diperkenalkan pada tahun 2001 dan ia berfungsi sebagai sumber utama statistik struktur ekonomi negara.
Menurutnya, banci itu bertujuan memperoleh maklumat yang holistik, komprehensif, relevan dan tepat pada masanya mengenai struktur serta ciri-ciri sektor ekonomi negara merangkumi semua aktiviti ekonomi termasuk PMKS, pertubuhan perniagaan dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan serta sektor informal.
Kata beliau, pelaksanaan BE 2026 meliputi lima sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian.
“Dapatan BE 2026 akan menjadi input utama kepada pelbagai dasar dan agenda termasuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, agenda Ekonomi Digital, Revolusi Industri 4.0, dasar fiskal dan monetari serta pelan pemerkasaan PMKS dan bumiputera.
“Data ini membantu menilai keberkesanan dasar sedia ada serta mengenal pasti hala tuju baharu bagi pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Maklumat komprehensif daripada BE 2026 amat penting bagi mengenal pasti sektor berpotensi tinggi dan aktiviti ekonomi baharu yang sedang berkembang pesat seperti ekonomi digital, Internet of Things (IoT), e-dagang dan bioteknologi.
“Ia termasuk tenaga boleh baharu, rantaian industri minyak dan gas, aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, keselamatan siber serta pelbagai segmen perkhidmatan profesional dan inovasi berasaskan pengetahuan,” katanya. – MalaysiaGazette

















