KUALA LUMPUR – Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah Kerajaan Perpaduan yang akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengasingkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya selain mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal sebagai langkah penting memperkukuh reformasi institusi negara.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pengumuman itu mencerminkan iltizam politik Kerajaan Madani untuk memperkukuh tadbir urus negara berasaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang telah lama dituntut rakyat.
Menurut beliau, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan asas kepada kebebasan sistem keadilan, selari dengan kerangka Politik Rahmah yang menekankan keadilan dan integriti institusi.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan konflik kepentingan, menjamin kebebasan pendakwaan serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengendalian kes-kes berprofil tinggi secara adil dan telus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mujahid turut berpandangan, langkah mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri sebagai menunjukkan kuasa adalah amanah bersifat sementara dan bukannya hak mutlak individu.
Beliau menjelaskan, langkah tersebut dapat memperkukuh tadbir urus yang sihat, membuka ruang kepada pembaharuan kepimpinan serta memastikan kesinambungan pentadbiran negara yang progresif.
“Sehubungan itu, Amanah menyeru semua pihak tanpa mengira perbezaan politik agar menyokong reformasi institusi berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan nasional.
“Kerajaan kini melangkah ke hadapan untuk membina Malaysia yang lebih adil, berintegriti dan berperikemanusiaan, selari dengan aspirasi rakyat serta tuntutan zaman,” katanya.- MalaysiaGazette
















