Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan beramah mesra bersama kakitangan penjawat awam selepas selesai Perhimpunan Warga MOF di Dewan Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru kakitangan awam menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam, serta memainkan peranan aktif dalam membina negara mampan, adil dan sejahtera selain menzahirkan kesetiaan kepada kerajaan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata etika dan disiplin penjawat awam merupakan tunjang kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“CUEPACS berharap agar penjawat awam terus meningkatkan prestasi kerja, memperkukuh integriti, mempertingkatkan produktiviti, serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kerajaan atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan penjawat awam, termasuk pelaksanaan kenaikan gaji fasa kedua sebanyak 7 peratus bermula Januari 2026.

Menurutnya, langkah tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam seiring dengan tanggungjawab fiskal negara.

Dalam masa yang sama, Adnan mengambil maklum bahawa kenaikan gaji penjawat awam yang dilaksanakan bukan atas desakan mana-mana pihak, sebaliknya berdasarkan kemampuan kewangan negara dengan implikasi perbelanjaan keseluruhan berjumlah kira-kira RM18 bilion.

“CUEPACS berpandangan bahawa kenaikan gaji ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan besar kerajaan terhadap sumbangan, pengorbanan serta komitmen penjawat awam dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan awam yang cekap dan berintegriti,” tambahnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast