JOHOR BAHRU – Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Taman Johor Jaya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, nahas tersebut berlaku pukul 3.20 petang melibatkan kenderaan jenis Nissan GT-R, sebuah Kia Picanto dan dua Perodua Axia.
“Siasatan awal mendapati Nissan GT-R yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Akibat kehilangan kawalan itu, kenderaan berkenaan melanggar Kia Picanto yang dipandu seorang wanita warga tempatan berumur 58 tahun serta dua Perodua Axia yang masing-masing dipandu lelaki warga tempatan berumur 30 dan 29 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan beberapa kenderaan terbabit terbabas ke bahu kanan jalan.
Akibat kejadian itu katanya, pemandu Nissan GT-R mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, sementara pemandu Perodua Axia berumur 30 tahun cedera parah di kepala dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HSI).
Empat mangsa lain pula cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital yang sama.
Mohd Sohaimi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai juga diingatkan agar mematuhi had laju dan mengekalkan jarak selamat ketika memandu,” katanya sambil memaklumkan sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis 07-386 4222.- MalaysiaGazette
















