Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan penting parti termasuk penentuan calon perdana menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dibuat melalui proses syura dan musyawarah tanpa dipengaruhi mana-mana pihak luar serta dimuktamadkan mengikut tertib dan kaedah yang ditetapkan parti.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pendekatan tersebut berbeza dengan rancangan realiti yang bergantung kepada undian popular.

Menurutnya, Pas menekankan perbincangan teratur melibatkan pandangan pelbagai pihak dalam parti.

“Pas akan bincang, pertimbang dan rundingkan secara berdisiplin sebelum membuat keputusan,” katanya sebagai membidas kenyataan Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil menerusi hantaran terbaru di Facebook beliau hari ini.

Mohd Syahir turut menyertakan keratan berita sebuah laman portal berhubung kenyataan Muhammad Faiz apabila menyindir sikap Pas yang menurutnya berterusan berteka-teki mengenai kepimpinan PN dengan menyamakan situasi untuk menamakan calon bagi jawatan pengerusi PN seperti program realiti televisyen Akademi Fantasia (AF).

Mengulas lanjut Syahir berkata, Pas menegaskan pendirian parti ditentukan secara bebas, termasuk dalam soal kerjasama politik dengan berpegang kepada prinsip, maruah dan harga diri.

Pada masa sama, beliau mengkritik Amanah yang didakwa hanya mengikut keputusan DAP dalam menentukan hala tuju politiknya.

Mohd Syahir turut menjelaskan, amalan syura dan musyawarah bukanlah pendekatan baharu, sebaliknya legasi pimpinan terdahulu parti termasuk tokoh-tokoh awal yang menerajui Pas.

“Tradisi ini akan diteruskan walaupun ada pihak yang memilih sebaliknya,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Sementara tu, berhubung penentuan calon perdana menteri dan Pengerusi PN, Mohd Syahir berkata, pertimbangan baharu telah dibuat dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan hujah sebelum ditarjihkan.

Keputusan akhir, katanya, akan dirunding, dimuktamadkan dan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Pas tidak memerlukan sebarang sokongan atau pengesahan daripada DAP atau AMANAH dalam menentukan keputusan tersebut.

“Rakyat kini menilai kewibawaan Pas sebagai parti yang layak menerajui kepimpinan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast