PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, turut dibentangkan pada sidang Parlimen tahun ini adalah RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya; Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat (FoI).
Katanya, kesemua RUU itu dibentangkan dalam langkah reformasi institusi di Parlimen; Kementerian Kewangan; sektor penjawat awam serta dalam bidang perundangan.
“Ini undang-undang baharu yang kita akan bentang di Parlimen pada tahun ini bermula sidang Januari depan,” katanya pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Menjelaskan mengenai RUU Ombudsman, Anwar berkata, ia akan memberi ruang kepada rakyat untuk membangkitkan apa sahaja permasalahan melibatkan penjawat awam termasuklah sehingga kepada Perdana Menteri yang boleh dipertanggungjawabkan serta dipersoalkan.
Berhubung Akta Kebebasan Maklumat pula, menurut Perdana Menteri, beliau memahami kebimbangan sesetengah pihak sekiranya akta itu diluluskan kelak.
Namun, katanya, kerajaan memberi jaminan akan ada pengecualian di bawah akta itu berkaitan isu melibatkan keselamatan negara seperti maklumat risikan dan sebagainya.
“Tetapi akta ini terpakai bagi isu lain seperti tender, kontrak projek dan sebagainya bagi mengelakkan salah guna kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















