MELAKA – Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) cedera selepas pacuan empat roda yang dinaiki dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke lokasi aduan buaya di persimpangan lampu isyarat di Pantai Klebang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, seorang anggota lelaki berusia 28 tahun dan wanita 20 tahun masing-masing cedera di kening serta mengalami sakit dada.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, turut cedera ialah guru lelaki berusia 53 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50.
Siasatan awal mendapati, ketika kejadian pasukan itu dalam perjalanan dari Bukit Rambai ke Pantai Klebang untuk memeriksa aduan kes buaya sambil memasang lampu mata arah (beacon) serta siren dihidupkan.
“Setibanya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Persisiran Pantai, pacuan empat roda dinaiki tiga anggota APM membelok ke kanan selepas memastikan keadaan selamat.
“Bagaimanapun tiba-tiba sebuah X50 dari arah Klebang ke bandar Melaka melanggar bahagian hadapan kenderaan tersebut,” kata ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu SUV berkenaan mendakwa, ketika itu lampu isyarat di laluannya baru bertukar kuning dan dia meneruskan perjalanan sebelum tiba-tiba kenderaan APM itu membelok menyebabkan dia tidak sempat membrek.
“Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi anggota APM yang memandu pacuan empat roda tersebut berusia 37 tahun tidak cedera.
Christopher berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. – MalaysiaGazette
















