JOHOR BAHRU – Kenderaan asing yang melanggar peraturan wajar disenarai hitam dan dilarang memasuki Malaysia sekurang-kurangnya dua tahun.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ini bagi memberi pengajaran pemilik kenderaan asing dan mengelakkan kejadian sama berulang.
Jelasnya, isu terbaharu membabitkan kenderaan asing melanggar peraturan adalah beberapa kes kenderaan asing mengisi petrol RON95 di Malaysia yang tular dalam media sosial ketika ini.
“Antaranya sebuah kereta berdaftar Singapura di Kulai disyaki menutup nombor plat untuk membeli RON95 dan kejadian sama turut dilaporkan di utara Semenanjung.
“Perbuatan ini menimbulkan perhatian ramai. Menurut Akta Kawalan Bekalan 1961, tanpa mengira warganegara atau warga asing, kenderaan berdaftar asing hanya dibenarkan membeli RON97,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika ini, harga RON97 ialah RM3.16 seliter manakala di Singapura RON95 SGD 2.736 seliter (RM9.60).
Jelasnya , ini bermakna, walaupun membeli RON97 di Malaysia, harga masih lebih murah lebih tiga kali ganda berbanding di Singapura.
“Isu ini bukan soal berkira harga minyak, tetapi soal hormat dan integriti. Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelawat asing, namun mereka mesti menghormati undang-undang serta dasar negara ini,” ujarnya.
Justeru katanya, tindakan melanggar undang-undang dan mengisi RON95 demi menjimatkan sedikit wang adalah tidak wajar serta tidak menghormati sistem dan kepentingan rakyat Malaysia.
Pada masa ini katanya, hanya stesen minyak dipertanggungjawabkan dalam kes sebegini manakala pemandu tidak dikenakan tindakan menurut kepada Seksen 12A di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 .
“Saya mencadangkan agar kerajaan memperluaskan penguatkuasaan supaya pemandu turut bertanggungjawab dan dikenakan denda jika bersalah,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.
Pemilik video mendakwa kemungkinan itu taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.- MalaysiaGazette















