KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir layak memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman fitnah terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman meskipun berstatus muflis.
Hakim Roslan Mat Nor berpuas hati, Abdul Kadir, 86, selaku plaintif tidak terhalang atau dikecualikan daripada memberi keterangan walaupun beliau tergolong sebagai pihak yang tertakluk di bawah Akta Insolvensi 1967.
Beliau selanjutnya menyatakan mahkamah berpandukan kepada keputusan terdahulu dalam kes Syarifah Aini melawan Karangkraf bahawa penyanyi itu selaku plaintif tidak dihalang memfailkan tindakan saman fitnah.

Roslan membuat keputusan itu berikutan isu yang dibangkitkan oleh peguam Zulfahmi Abu Bakar yang mewakili Aliff Syukri sama ada Abdul Kadir sesuai memberi keterangan atau mengemukakan tindakan mahkamah kerana beliau kini berstatus muflis.
Peguam defendan membangkitkan isu sama ada kelulusan (sanction) perlu diperolehi daripada mahkamah sebelum Abdul Kadir memberi keterangan.
Bagaimanapun, peguam, S. Ravichandaran yang mewakili Abdul Kadir berkata, kes tersebut adalah melibatkan saman fitnah, jadi kelulusan (sanction) tidak diperlu diperolehi bagi membolehkan anak guamnya memberi keterangan.
Hakim berkenaan turut diminta mempertimbang sama ada Abdul Kadir berhak memfailkan tindakan saman di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Insolvensi.
Mahkamah kemudian meneruskan prosiding dengan mendengar keterangan Abdul Kadir sebagai saksi plaintif pertama dalam perbicaraan kes saman tersebut.
Bekas menteri Kabinet itu menyaman Aliff Syukri berhubung dakwaan pempengaruh tersebut bahawa beliau berhutang `puluhan juta ringgit’ yang menjejaskan reputasinya.
Menurut Abdul Kadir berkata, sekitar Julai 2023, Aliff Syukri menerusi laman Instagramnya mendakwa beliau selaku bekas menteri sepatutnya kaya dan mampu melangsaikan hutang tetapi mengelak membayarnya.
Hantaran itu disertakan dengan gambar Abdul Kadir dan pembaca dipelawa meninggalkan komen serta disiarkan dalam pelbagai laman web dan platform media sosial pada hari sama.
Dengan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah itu, plaintif mendakwa, tindakan defendan secara sengaja, cuai dan melulu itu telah menyebabkan kerosakan besar terhadap nama baik, reputasi serta imejnya.
Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette
















