PETALING JAYA – Hampir separuh tenaga kerja negara kini berkhidmat dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tetapi masih berdepan cabaran daripada segi akses kepada latihan tersusun dan laluan kerjaya yang jelas.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pendekatan pihaknya bermula memberi kemahiran relevan dan sokongan untuk kekal produktif seterusnya membolehkan perniagaan berkembang dan ekonomi negara lebih berdaya tahan.
“Apabila rakyat dipermudah untuk memasuki alam pekerjaan, diberikan kemahiran yang relevan dan disokong untuk kekal produktif, perniagaan akan berkembang dan ekonomi negara menjadi lebih berdaya tahan.
“Belanjawan 2026 menekankan strategi pembangunan tenaga kerja yang holistik sebagai asas kepada pertumbuhan yang mampan dan saksama.
“Selaras dengan visi ini, KESUMA komited untuk memperkukuh ekosistem bakat negara melalui pendekatan berteraskan rakyat, selari dengan keperluan pasaran kerja semasa dan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan rasmi pertamanya ke Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di Menara Surian di sini hari ini.
Kata Ramanan, sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem bakat merangkumi pelajar, graduan, profesional, wanita, veteran, diaspora serta bakat berkemahiran tinggi, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah hab bakat global yang dinamik dan berdaya saing.
Antara inisiatif utama termasuk penambahbaikan Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES) dengan proses kelulusan dipercepatkan kepada 14 hari bekerja serta pemberian pendahuluan RM2,000 bagi setiap pelatih.
“Program MyMahir Future Skills Talent Council pula memastikan latihan berasaskan keperluan industri, mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan meningkatkan gaji permulaan peserta.
“Selari pengumuman Belanjawan 2026, PMKS layak menikmati potongan cukai tambahan 50 peratus bagi perbelanjaan latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber melalui inisiatif MyMahir–National AI Council for Industry (MyMahir-NAICI).
“Dalam usaha mengekalkan tenaga kerja, KESUMA turut menekankan penyertaan wanita melalui Wanita MyWira, pengaturan kerja fleksibel bagi pekerja berpengalaman, serta pengambilan veteran melalui Veteran MyWira memandangkan disiplin dan daya tahan tinggi golongan ini dapat membantu majikan mengatasi kekurangan tenaga kerja,” jelasnya.
Tambah beliau, Malaysia juga terus menarik bakat global melalui penambahbaikan Xpats Gateway, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, naik 11 anak tangga ke tangga ke-23.
Kerajaan, katanya, turut membuka laluan kepada chef dan pengurus antarabangsa berkemahiran tinggi untuk menyokong pemindahan kemahiran serta sektor pelancongan bernilai tinggi.
“Keseluruhannya, ini merupakan ekosistem bakat bersepadu yang menyokong rakyat Malaysia dari memasuki alam pekerjaan, membina kemahiran hingga kekal bekerja.
“Kerajaan bersedia menyokong majikan yang melabur dalam bakat tempatan dengan dasar jelas dan pelaksanaan praktikal,” katanya. – MalaysiaGazette















