BATU PAHAT – Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang selepas terjatuh laut di sini sejak Jumaat lalu, diperluaskan meliputi kawasan 207 batu nautika persegi, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, sehingga semalam yang memasuki hari ketiga pencarian, masih belum menemukan sebarang petanda dan operasi tertumpu di sekitar tempat terakhir mangsa dilaporkan jatuh ke laut.
“Operasi berkenaan diatur gerak menggunakan bot Petir 51 dan turut melibatkan kerjasama pasukan polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bot nelayan tempatan.
“Pencarian tertumpu di kawasan posisi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh ke laut berdasarkan maklumat awal yang diterima oleh pihak berkuasa.
“Walaupun keadaan laut agak mencabar, operasi diteruskan dengan tahap kesiapsiagaan tinggi oleh semua agensi terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti nelayan setempat yang memberi kerjasama dan sokongan sepanjang operasi dijalankan, sekali gus membantu memperluaskan liputan pencarian.
“Penangguhan aktiviti ke laut perlu dipertimbangkan sekiranya cuaca tidak baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengancam nyawa dan harta benda,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden berkenaan diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-434 4020 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
Sebelum ini, Mohd Fadzli Misran, 41, hilang bersama-sama rakannya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, selepas mereka keluar rumah untuk memeriksa bubu udang serta memancing kira-kira 800 meter dari jeti Sungai Tongkang.
Kehilangan kedua-dua lelaki itu disedari penduduk apabila bot mereka naiki ditemukan bersama joran dan bubu.- MalaysiaGazette
















