KUALA LUMPUR – Peguam Albert Tei, Mahajoth Singh memohon membatalkan notis yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkannya hadir pada sesi pemeriksaan dan menyerahkan dokumen berkaitan kes yang dihadapi ahli perniagaan itu.
Permohonan tersebut dikemukakan melalui semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Disember lalu.
Peguam tersebut mahu membatalkan tiga notis yang dikeluarkan pada 29 dan 30 November lalu, yang mahukan beliau hadir untuk pemeriksaan serta perintah supaya mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(1)(b) akta SPRM.
Menurut Mahajoth, SPRM mengarahkan beliau mengemukakan telefon bimbit Albert, dokumen berkaitan pembelian perabot, pakaian dan kamera serta salinan perbualan WhatsApp antara anak guamnya dengan beberapa individu.
Sementara itu, permohonan beliau untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman didengar di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching hari ini.
Pada prosiding itu, peguam N. Surendran yang mewakilinya berhujah, agensi itu tertakluk kepada Seksyen 46(1) Akta SPRM yang mana penzahiran dokumen hanya boleh dilakukan melalui perintah Mahkamah Tinggi.
Surendran berhujah, seksyen berkenaan melindungi hak dan keistimewaan di antara peguam dan anak guamnya dalam hal berkaitan pendedahan maklumat.
Oleh yang demikian, hujah beliau, anak guamya wajar dibenar memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis SPRM atas alasan `ambang’ bagi permohonan itu adalah rendah.
“Anak guam saya `terperangkap’ di tengah-tengah kerana jika mematuhi notis SPRM, beliau terdedah kepada perlanggaran Akta Keterangan dan jika notis gagal dipatuhi, beliau terdedah kepada tindakan agensi itu,” hujah Surendran.
Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang berhujah mewakili SPRM menyatakan, isu yang dibangkitkan oleh responden, tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Hujahnya, Mahkamah Persekutuan sudah memuktamadkan kes terdahulu bahawa tindakan oleh pihak berkuasa tidak boleh dipertikai di mahkamah.
Kata Shamsul, jika semakan kehakiman dibenarkan, tindakan itu akan membuka lebih banyak `jalan’ untuk pihak-pihak memfailkan tindakan di mahkamah pada masa akan datang.
Beliau selanjutnya menghujahkan, notis SPRM untuk memeriksa Mahajoth dan memaksanya mengemukakan dokumen adalah kuasa yang digunakan semasa siasatan jenayah.
“Perintah untuk memeriksa pemohon dan perintah untuk mengemukakan dokumen adalah pelaksanaan kuasa dalam penyiasatan jenayah yang mana ia tidak boleh dicabar dalam semakan kehakiman,” hujah beliau.
Selepas mendengar penghujahan pihak-pihak, Hakim Alice menetapkan 28 Januari untuk keputusan.
Jika kebenaran diberikan, mahkamah menetapkan tarikh lain bagi mendengar permohonan Badan Peguam Malaysia diwakili Anand Raj untuk bertindak sebagai pencelah dalam semakan kehakiman itu.
Sementara itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang diwakili peguam-peguam Muhamad Hisham Marzuki, Muhammad Hariz Md. Yusoff dan Khairul Naim Rafidi turut memohon untuk bertindak sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae).
Dalam afidavit yang diikrarkannya, Mahajoth berkata, maklumat yang diminta SPRM merupakan komunikasi terlindung antara peguam dan anak guam seperti yang peruntukkan di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan dan Seksyen 46 Akta SPRM.
Beliau berkata, agensi itu menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan arahan tersebut kerana Seksyen 46(1) Akta SPRM menyatakan penzahiran sebarang maklumat daripada peguam bela atau peguam cara hanya boleh dilakukan dengan perintah Mahkamah Tinggi.
Katanya, responden tidak memperolehi sebarang perintah mahkamah dan secara langsung dan tidak sah telah mengeluarkan perintah menurut Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM.
Oleh yang demikian, Mahajoth menyatakan, perlindungan statutori bagi komunikasi terlindung di antaranya dan anak guam tidak boleh dipintas dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette















