KUALA LUMPUR – “Mata pena lebih berkuasa daripada sebutir peluru,”.
Itu penekanan yang diberikan pelakon dan tokoh masyarakat, Datuk Aaaron Aziz kepada bakal generasi wartawan dan pengamal media mengenai bahaya penulisan yang cuai, fitnah dan maklumat yang tidak tepat.
Menurut beliau, penulis dan wartawan memegang kuasa yang amat besar, sering kali lebih hebat daripada yang mereka sedari.
“Walaupun peluru mungkin mencederakan seorang individu, penulisan yang cuai, maklumat palsu, atau fitnah boleh memusnahkan kehidupan beribu-ribu orang dan merosakkan seluruh komuniti atau industri.
“Laporan yang tidak tepat atau kenyataan berunsur fitnah boleh mendatangkan kesan berpanjangan jauh melangkaui saat ia diterbitkan,”.
Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian bertajuk “Pentas Selebriti: Cabaran dan Halangan dalam Media – Menangani Pemerhatian pada Minggu RE: MEDIA sulung anjuran Universiti Malaya.
Jelas beliau lagi, dalam sesuatu penulisan, etika mestilah sentiasa mendahului sensasi dan menyeru pengamal media masa depan untuk menulis dengan kebenaran, empati, dan rasa tanggungjawab, serta menegaskan bahawa kredibiliti dan integriti adalah asas kepada kewartawanan dan komunikasi yang bermakna.
Tambah beliau, bahaya menyebarkan maklumat yang tidak disahkan dan perkara negatif demi meraih perhatian, terutamanya dalam era digital di mana kandungan tersebar dengan pantas.
“Platform digital, terutamanya media sosial, adalah sebagai hamba yang baik, tetapi tuan yang sangat jahat. Ini kerana apabila media digunakan dengan kawalan dan tujuan yang betul, ia boleh membawa kepada hasil positif dan penglibatan yang bermakna.
“Walau bagaimanapun, apabila didorong oleh ketagihan terhadap validasi, tanda suka (likes), dan kelulusan dalam talian, ia boleh memupuk tingkah laku yang tidak sihat, kebergantungan emosi, dan naratif yang berbahaya,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, setiap perkataan yang ditulis membawa impak jangka panjang, dan pengamal media perlu mengimbangi aspirasi dengan tanggungjawab, menulis dengan kebenaran, empati, dan rasa tanggungjawab.
“Kuasa media bukan sekadar memberi maklumat dan inspirasi, tetapi juga memikul tanggungjawab melindungi kebenaran dan kemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette















