Abshar.

BUKIT MERTAJAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan Perutusan Tahun Baharu  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai komitmen Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Akta Kebebasan Maklumat serta usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Setiausahanya, Abshar Nurasyraf Amram berkata, reformasi institusi bukan sekadar komitmen dasar tetapi merupakan tuntutan rakyat yang sekian lama dahagakan perubahan struktur pentadbiran yang lebih adil, telus serta bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

Beliau yang juga Ketua AMK Bukit Mertajam berkata, langkah berkenaan penting bagi memperkukuh sistem demokrasi dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Penegasan Perdana Menteri mengenai penetapan tarikh pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga merupakan usaha membantu rakyat berdepan kos sara hidup.

Inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan bantuan disalurkan secara terancang, bersasar dan berkesan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah, sederhana serta golongan rentan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abshar Nurasyraf, AMK juga berharap lebih banyak inisiatif diperkenalkan bagi membantu rakyat dalam tempoh berbaki kurang dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-16.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan RUU bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, turut dibentangkan pada sidang Parlimen tahun ini adalah RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya; Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat (FoI). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast