PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komponen parti itu tidak mahu terlibat dalam mana-mana aktiviti ‘tebuk atap’ bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Kita tidak akan pernah melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan yang ada sekarang.
“Kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti, ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke 16 diadakan,” katanya kepada media di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Ahmad Zahid menjawab pertanyaan media mengenai perbincangan yang dibuat dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO yang diadakan semalam di Menara Dato’ Onn.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, satu keputusan besar akan dibuat oleh UMNO-BN dalam masa terdekat namun tidak memperincikan keputusan tersebut kepada media.
“Satu keputusan besar yang akan dibuat oleh parti dan apabila tiba waktunya kita akan mengumumkannya,” katanya lagi.
Sabtu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan beralih ke blok pembangkang, dengan mendakwa berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R — kaum, agama dan raja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, orang Melayu marah dengan isu stoking tertera perkataan ‘Allah’ dan bendera terbalik, namun mereka yang dikenakan tindakan adalah pihak yang ‘mempertahankan’ Islam dan Jalur Gemilang.
Menurut beliau, sayap UMNO itu tidak akan berhenti mahupun memilih untuk berdiam diri di kala maruah Melayu dan Islam terus dipijak dan dihina rakan komponen Perpaduan.
“Siapakah lagi yang akan menjadi benteng hadapan untuk memastikan UMNO terus hidup, terus bermaruah dan terus relevan untuk generasi akan datang?
“UMNO ini bukan sekadar nama. Ia adalah amanah, warisan dan masa depan. Hari ini kita kumpulkan keresahan, kita susun hasrat dan kita serahkan kepada pucuk pimpinan tanpa tapis, tanpa solekan.
“Ini kerana suara yang ditapis, akhirnya tidak lagi mewakili realiti,” katanya.
Lebih malang apabila ada rakan komponen Perpaduan terus mempersendakan kesucian agama Islam dan ia sesuatu yang menyakitkan perasaan akar umbi UMNO.
“Maruah bangsa kita diperkecilkan, malah institusi Raja kita pula diuji kewibawaannya,” ujar beliau.
















