Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia “Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan" ketika di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan pimpinan pertama yang memberi restu kepada Pergerakan Pemuda UMNO untuk menganjurkan konvensyen khas, hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jika perhimpunan itu tidak direstui presidennya, bagaimana sayap parti itu boleh bersuara dengan lantang di ‘rumah UMNO’ sendiri.

“Ada yang bisik-bisik kata, konvensyen hari ini kononnya tak direstui pimpinan atas. Saya nak cakap terus terang dalam bahasa paling senang, saya ini bukan ‘budak Zahid’. Saya hanyalah seorang Ketua Pemuda UMNO.

“Tapi bila hasrat untuk mengadakan konvensyen ini disuarakan, Datuk Seri Presiden adalah orang pertama yang memberi restu dan ruang kepada Pemuda untuk berhimpun dan bersuara.

“Kalaulah Presiden dan parti tidak bersama dengan Pemuda, kalau kepimpinan tidak percaya kepada keikhlasan kita, masakan hari ini kita boleh berhimpun dan bercakap dengan lantang di rumah UMNO sendiri,” katanya pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia “Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan” ketika di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2026.

Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, sayap UMNO itu tidak akan berhenti mahupun memilih untuk berdiam diri di kala maruah Melayu dan Islam terus dipijak dan dihina rakan komponen Perpaduan.

“Siapakah lagi yang akan menjadi benteng hadapan untuk memastikan UMNO terus hidup, terus bermaruah dan terus relevan untuk generasi akan datang?

“UMNO ini bukan sekadar nama. Ia adalah amanah, warisan dan masa depan. Hari ini kita kumpulkan keresahan, kita susun hasrat dan kita serahkan kepada pucuk pimpinan tanpa tapis, tanpa solekan.

“Ini kerana suara yang ditapis, akhirnya tidak lagi mewakili realiti,” katanya.

Lebih malang apabila ada rakan komponen Perpaduan terus mempersendakan kesucian agama Islam dan ia sesuatu yang menyakitkan perasaan akar umbi UMNO.

“Maruah bangsa kita diperkecilkan, malah institusi Raja kita pula diuji kewibawaannya.

“Semua ini diambil mudah oleh pihak sana, dijadikan bahan jenaka atau berselindung kononnya perbincangan secara akademik, walhal, hakikatnya semua ini dijadikan modal politik murahan,” katanya.

Katanya lagi, Pemuda UMNO bertanggungjawab untuk mempertahan parti setelah terlalu banyak hinaan serta cabaran biadab dilempar bukan sahaja kepada mereka, bahkan mencabar agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Kesabaran dan kewarasan kita ada had, dan bacullah kita mengaku Pemuda UMNO jika sudah hingga ke tahap ini diperlakukan, kita diam tanpa apa-apa tindakan.

“Dengan cadangan serta persetujuan sahabat-sahabat semua, pertemuan ini kita adakan sebagai medan untuk bersuara secara berani dan bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast