Beginilah keadaan motosikal seorang warga emas yang maut dilanggar sebuah kereta selepas motosikal kemalangan di Jalan Kluang-Teck Wah Heng hari ini.

KLUANG – Seorang warga emas maut dilanggar sebuah kereta selepas menunggang motosikal dengan menukar haluan secara tiba-tiba dalam nahas di Kilometer 2.5, Jalan Kluang-Teck Wah Heng di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 9.15 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Y80 dan kereta Toyota Altis.

“Siasatan mendapati Toyota Altis tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dalam perjalanan dari arah bandar Kluang menghala ke rumahnya di Taman Kluang Perdana.

“Semasa tiba di tempat kejadian motosikal terbabit yang ditunggang lelaki tempatan berusia 73 tahun yang berada di laluan sama tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibatnya kereta tersebut tidak sempat mengelak dan melanggar belakang motosikal itu sehingga mengakibatkan penunggangnya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Mangsa, katanya, dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dengan ambulan namun meninggal dunia di Zon Merah, Wad Kecemasan HEBHK semasa menerima rawatan.

Pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bahrin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222, direct line 07-7766822; tablet DCC : 07-7784256 atau 014-365682.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast