PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir pendakwa raya.
Samirah, 50, yang juga balu Nazrin, kedua-dua remaja masing-masing berusia 23 dan 20 tahun serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi esoknya.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Abu Bakar berkata, setelah meneliti alasan bertulis Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, panel berpuas hati kedua-dua mahkamah itu betul ketika membebaskan ketiga-tiga responden daripada pertuduhan.
Ujar beliau, pihak pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiga tertuduh mempunyai niat bersama untuk menyebabkan kecederaan yang akhirnya membawa kepada kematian mangsa.
Panel itu berpuas hati, keterangan ikut keadaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan ekoran kewujudan individu keempat yang berada dalam rumah tempat kejadian.
Oleh yang demikian, panel berkenaan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2020 yang membebaskan mereka serta keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya pada 2022.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Mohd. Amril Johari manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Terdahulu, Hakim Abu Bakar memaklumkan, panel itu tidak perlu mendengar penghujahan panjang lebar kerana mereka telah meneliti alasan penghakiman kedua-dua mahkamah serta hujahan bertulis kedua-dua pihak.
Panel kemudian meminta penjelasan berhubung niat bersama ketiga-tiga responden menyebabkan bencana tubuh kepada mangsa sehingga membawa kepada kematiannya.
“Setakat ini, pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan iaitu ketiga-tiganya merupakan individu terakhir dilihat bersama-sama mangsa,” ujar panel itu.
Bagaimanapun, Mohd. Asnawi berhujah, oleh kerana ketiga-tiganya berada dalam rumah yang sama pada malam kejadian, mereka dikategorikan sebagai individu terakhir bersama-sama mangsa.
“Kita memang tidak dapat membuktikan siapa yang melakukannya namun tiada keterangan yang menunjukkan rumah itu dipecah masuk,” hujah beliau.
Hakim Abu Bakar selanjutnya membangkitkan persoalan kewujudan individu lain dalam rumah tersebut walhal wanita itu tidak dipanggil memberi keterangan.
Mohd. Asnawi bagaimanapun menjelaskan, usaha telah dilakukan untuk mengesan wanita tersebut namun gagal.
Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah, individu berkenaan bukannya gagal ditemukan, sebaliknya dia masih bersama-sama Samirah dan membantunya berkemas sebelum keluarga itu berpindah dari rumah tempat kejadian di Mutiara Damansara ke Taman Tun Dr. Ismail.
Pasukan pembelaan selanjutnya menghujahkan, pendakwaan tidak dapat membuktikan kesnya di peringkat prima facie kerana tiada niat bersama di antara ketiga-tiga responden menyebabkan kes pendakwaan diragui.
Mahkamah Rayuan ketika membebaskan ketiga-tiga turut memutuskan bahawa tiada keterangan mencukupi bagi membuktikan bahawa kebakaran yang berlaku adalah disengajakan kerana terdapat bukti bercanggah daripada pihak Jabatan Kimia dan penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mahkamah Rayuan turut memutuskan testimoni mengenai petrol dan analisis yang dibuat ke atasnya tidak menggunakan kaedah yang diperakui dan penyiasat meninggalkan langkah-langkah penting untuk menganalisis petrol. – MalaysiaGazette
















