KUANTAN – Padah cuba merasuah anggota polis, seorang lelaki warganegara Bangladesh dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini.
Mobarok Islam, 25, sebelum itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Sazlina Safie selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM100 kepada seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Brinchang, Cameron Highlands pada 6 Disember 2025 kira-kira pukul 8.25 malam di tepi jalan besar berhampiran stor sayur L.S Theam Trading.
Wang tunai itu didakwa diberikan kepada anggota polis tersebut sebagai balasan untuk tidak menjalankan tindakan ke atasnya kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad mengesyorkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadapnya sebagai pengajaran dan bagi menambah kesedaran mengenai kesan memberi suapan kepada penjawat awam kepada masyarakat.
Mobarok yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukuman paling ringan dikenakan kepadanya memandangkan dia yang baru berkahwin hanya meraih pendapatan bulanan RM2,000 sebulan hasil bekerja di kebun sayur-sayuran.
Hakim Sazlina kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan berkuatkuasa hari ini terhadapnya selain wang tunai bernilai RM100 itu dilucuthak kepada SPRM. – MalaysiaGazette
















