Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan diingatkan supaya tidak perlu sibuk dalam urusan UMNO.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang memberi peringatan itu berkata,  Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh “ada adik-beradik” dalam UMNO.

“Tak payah sibuk. Akmal ada adik-beradik dia dalam UMNO. Kak Long dia sayang dia.

“Akmal stay. Titik,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan DAPSY supaya Ketua Pemuda UMNO itu melepaskan jawatan selepas Barisan Nasional membuat keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Nurulhidayah turut mengingatkan DAPSY bahawa hubungan dengan UMNO umpama adik-beradik tiri sahaja.

“Kita adik-beradik tiri jer tau.

“Kalau bercerai kita takda kena mengena lagi,” katanya kepada DAPSY.

Dalam kenyataan hari ini DAPSY menyifatkan gimik keluar Kerajaan Perpaduan yang dimainkan Akmal sebagai bahan lawak politik yang memalukan diri sendiri selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Sehubungan itu, ujarnya, sekiranya Akmal benar-benar berprinsip maka beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Exco dalam Kerajaan Negeri Melaka serta-merta.

“Akmal Saleh harus letak jawatan segera dan laksanakan pendirian yakni keluar Kerajaan Perpaduan. Jangan cakap tidak serupa bikin.

“Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat,” kata DAPSY. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast